TAPAH: Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dijumpai pada 6 Jun lalu selepas sesat selama dua minggu dalam hutan di Gunung Batu Putih di sini mengakui tidak lagi mahu mendaki gunung.
Katanya, kesukaran yang dilaluinya sepanjang tersesat itu tidak akan dilupakan dan bersedia melupakan terus hobinya itu.
“Apa yang saya lalui selama dua minggu ini cukuplah, saya tak terfikir untuk hiking lagi. Saya mungkin teruskan skuba pula.
“Sebenarnya saya kuat sepanjang di dalam hutan disebabkan keluarga. Saya fikir hutan bukan tempat tinggal saya, saya mahu kembali kepada anak-anak, kepada keluarga.
“Mereka penguat semangat saya. Saya tahu orang sekeliling mendoakan. Saya hanya tersesat, bukan sebab ada hantu atau bunian yang sorok saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di Hospital Tapah di sini semalam.
Menceritakan lebih lanjut cabaran ditempuhnya, Jaslinda berkata, dia menyedari sudah tersesat apabila tidak menjumpai laluan untuk keluar dari hutan.
Katanya, dia hanya minum apa sahaja sumber air seperti embun, air pada kelopak daun dan air daripada buluh.
“Sepanjang mencari jalan keluar, saya memang banyak kali terjatuh dan itu biasa. Saya bangun, semua sebab pada masa itu saya hanya fikir hendak keluar dari hutan sahaja.
“Pada malam, saya tidur beralaskan plastik sampah yang memang saya bawa setiap kali mendaki. Saya juga bawa wisel yang saya tiup setiap kali saya terdengar bunyi helikopter tetapi mereka tidak nampak saya.
“Sebenarnya, dua tiga kali saya tunggu di puncak gunung tetapi pada masa itu helikopter tidak lalu, tiada rezeki helikopter hendak nampak saya pada masa itu,” katanya.
Jaslinda berkata, selepas ditemukan selamat dan dirawat di Hospital Tapah, kaki kirinya terpaksa disimen kerana mengalami keretakan pada buku lali.
“Sebelum mendaki saya memang cedera tapi bukan patah. Pada hari kedua tersesat, saya jumpa anak sungai, jadi saya ikut anak sungai.
“Saya cuba menyeberangi sungai namun terjatuh lebih kurang lima meter ke bawah sungai. Masa jatuh, kepala saya masuk dalam sungai dan kena batu. Kaki saya termasuk celah batu, itu yang menambahkan kecederaan pada kaki,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tersesat dia tidak terserempak dengan binatang buas walaupun menemukan kesan atau tapak kaki haiwan liar.
“Mujur tidak terserempak haiwan liar, ini kuasa Allah. Saya hanya nampak tapak kaki binatang buas tapi saya tak nampak walau sekecil seekor ular sekali pun yang banyak hanya agas dan nyamuk,” katanya.
Mengenai waktu sebelum dia ditemukan oleh Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh pada Sabtu lalu, Jaslinda berkata, sebelum sampai ke kampung tersebut dia menemukan dua simpang.
Katanya, dia mengambil keputusan meneruskan perjalanan di simpang kanan dan ternampak jambatan gantung yang merentangi sungai.
Jelasnya, ketika cuba menyeberang jambatan tersebut, dia ternampak dua Orang Asli sedang memancing.
“Ketika itu saya pandang mereka dan mereka pandang saya. Saya tanya jika mereka ada makanan kerana saya sangat lapar.
“Mereka bawa saya ke perkampungan mereka. Mereka papah saya naik ke atas bukit ke rumah mereka. Mereka bawa saya ke rumah tok batin dan suruh saya rehat,” katanya lagi.-UTUSAN.










