Jambatan terbengkalai resahkan penduduk

Jambatan terbengkalai resahkan penduduk

PENDUDUK menunjukkan projek pembinaan jambatan terbengkalai yang menjejaskan kehidupan harian mereka di Sik Dalam, Sik, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Projek pembinaan jambatan baharu sepanjang 100 meter bagi menggantikan jambatan lama yang kini berdepan kelewatan menimbulkan pelbagai kesukaran terhadap lebih 1,000 penduduk di kawasan Sik Dalam, di sini.

Jambatan lama yang dirobohkan pada 2023 itu adalah laluan utama dari pekan Sik ke Gulau yang kini ditutup kira-kira dua kilometer bagi memberi laluan kepada projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Banggol Sik Dalam, Mansor Ismail berkata, projek yang pada asalnya dijangka siap pada Disember 2025, kini ditangguhkan sehingga Mei 2027.

Katanya, kelewatan itu menyebabkan penduduk dari 10 buah kampung terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh iaitu kira-kira lima kilometer, selain jalannya sempit sehingga pernah menyebabkan kemalangan maut.

“Kami difahamkan terdapat isu berkaitan pengambilan tanah di kawasan terlibat meskipun kerja pembinaan telah bermula sebelum ini, selain kerja-kerja di tapak yang tidak konsisten.

“Buat masa ini penduduk terpaksa pusing jauh untuk ke sekolah dan masjid, kalau yang tunggang motosikal boleh lalu jambatan kecil yang penduduk bina secara gotong-royong tapi selalu rosak dan kerap berlaku kemalangan kerana keadaanya kurang baik,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mansor berkata, tiada jambatan sementara dibina sebelum pihak terlibat meruntuhkan jambatan lama sebelum ini, sehinggakan ia turut memberi kesan kepada aktiviti perniagaan di kawasan sekitar yang merosot teruk.

Aktivis masyarakat yang juga penduduk setempat, Mohd. Sobri Ramlee berkata, beliau pernah membuat aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Oktober 2025, namun jawapan yang diterima menimbulkan tanda tanya.

“Mereka beri jawapan kerja-kerja pengambilan tanah belum selesai. Sepatutnya pihak berkuasa menyelesaikan urusan pengambilan tanah yang terlibat untuk kerja-kerja pembesaran jalan ini lebih awal.

“JKR juga tidak dapat memberikan penjelasan kukuh kenapa perkara ini belum diselesaikan. Saya dapati kerja-kerja di tapak juga sudah terhenti apabila melihat keadaan kawasan yang dipenuhi rumput, seolah-olah projek telah lama tidak diteruskan,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Fatimah Syam Ali, 51, berkata, perniagaannya terkesan teruk sejak projek bermula apabila jumlah pelanggan semakin berkurang dan jualan merosot mendadak.

“Dulu jualan boleh cecah antara RM600 ke RM800 sehari, sekarang kadang-kadang tak sampai RM200 sehari. Saya juga terpaksa singkatkan waktu berniaga dari 8 pagi hingga 3 petang sahaja dan pernah juga tutup kedai selama sebulan kerana habis modal pusingan,” ujarnya.

Peniaga kedai perkakasan, Muhd. Nuzaihan Baharom, 48, berkata, pendapatannya turut merosot sehingga 70 peratus sejak jalan utama ditutup dan berharap pihak berwajib dapat mempercepatkan semula pembinaan jambatan baharu itu kerana perniagaannya tidak mustahil perlu ditutup sekiranya tiada pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN