Isu ‘pintu belakang’ ke universiti, Haim Hilman didakwa esok

Isu ‘pintu belakang’ ke universiti, Haim Hilman didakwa esok

HAIM HILMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli Exco negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah bakal didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan esok berhubung kenyataan dilakukannya berkaitan isu kemasukan pelajar ke universiti awam (UA).

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah itu memaklumkan perkara demikian dalam akan Facebook miliknya hari ini.

“Saya akan hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada 25 Jun 2026 pukul 9 pagi bagi menghadapi pertuduhan yang berkaitan dengan isu akses pendidikan tinggi yang saya bangkitkan demi mempertahankan hak anak-anak Malaysia, khususnya daripada keluarga miskin B40 dan M40.

“Insya-Allah saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada proses perundangan dan akan terus bersuara sehingga kebenaran ditegakkan serta peluang pendidikan yang adil untuk anak-anak Malaysia tanpa mengira bangsa terbela,” katanya.

Pada 15 Jun lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberitahu sedang meneliti tindakan serta prosedur perundangan sewajarnya terhadap Haim Hilman mengenai sistem kemasukan ke UA.

Ia susulan ucapan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu yang disiarkan melalui Facebook sempena ‘Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan’ pada 13 Jun lalu.

Haim Hilman dalam kenyataan balasnya tidak akan menarik balik pendiriannya berhubung isu kemasukan pelajar ke UA melalui saluran selain Unit Pusat Universiti (UPU), walaupun KPT sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadapnya.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu berkata, perkara yang dibangkitkan bukan serangan terhadap UA, sebaliknya menyentuh soal keadilan, ketelusan dan akses pendidikan tinggi yang adil kepada masyarakat, khususnya golongan B40 dan M40.  

Beliau berkata, KPT perlu menjelaskan secara terbuka jumlah sebenar pelajar tempatan yang memasuki UA melalui saluran selain UPU setiap tahun, termasuk bilangan tempat yang ditawarkan dalam program kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi dan perakaunan.  

Katanya, rakyat berhak mengetahui berapa ramai pelajar yang gagal mendapat tempat melalui UPU tetapi berjaya memasuki UA menerusi saluran terbuka dengan bayaran yuran penuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN