PONTIAN: Penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 telah berjaya menjadi platform mengangkat warisan kulinari Johor ke tahap lebih tinggi sehingga menarik minat masyarakat antarabangsa.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, bidang gastronomi bukan hanya mengenai makanan tetapi sebahagian daripada warisan budaya penduduk yang membawa identiti, sejarah dan nilai kehidupan mereka.
Katanya, negeri Johor memiliki pelbagai juadah makanan tradisional yang bukan sahaja unik tetapi turut berpotensi besar untuk dipromosikan kepada pelancong tempatan dan luar negara.
“Program ini bukan sahaja berjaya menghimpunkan masyarakat tetapi juga menjadi medan memperkenalkan budaya makanan tradisional kepada dunia.
“Warisan kulinari yang kita miliki perlu dipelihara kerana ia mencerminkan identiti masyarakat dan sejarah sesuatu tempat.
“Antara hidangan tradisional Johor yang berpotensi diperkenal ke tahap lebih tinggi termasuklah kacang pool, lontong darat, sate, soto, mi bandung, burasak dan telur pindang yang mempunyai keistimewaan tersendiri dan boleh menjadi daya tarikan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Komuniti Meh Lah Pontian: Kelana Keringat sempena FHMAPK 2026 di Pusat Rekreasi Tampok Laut, di sini semalam.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memberitahu, setiap daerah di Johor mempunyai identiti makanan tersendiri yang menggambarkan budaya dan kehidupan masyarakat setempat.
“Apabila pelancong datang ke sesuatu tempat, mereka bukan hanya mahu melawat lokasi menarik tetapi juga ingin merasai pengalaman budaya termasuk makanan tradisional yang menjadi identiti kawasan itu.
“Sebab itu usaha mempromosikan sektor gastronomi perlu terus diperkasa kerana ia berpotensi menjadi produk pelancongan yang mampu menarik perhatian masyarakat luar,” katanya.
Mengulas tentang penganjuran festival tersebut, katanya, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada komuniti setempat memperkenalkan produk makanan dan budaya mereka kepada pengunjung dari pelbagai latar belakang sekali gus meningkatkan pendapatan.
“Usaha berterusan antara agensi kerajaan, institusi warisan dan masyarakat amat penting bagi memastikan warisan kulinari Johor terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
“Keunikan makanan tradisional Johor bukan sahaja mampu menjadi kebanggaan rakyat negeri ini malah berpotensi menjadi produk budaya yang dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.-UTUSAN.










