Dua anggota tentera maut terkena letupan bom

Dua anggota tentera maut terkena letupan bom

KEDUA-DUA mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua anggota tentera dilaporkan maut dipercayai akibat terkena letupan bom semasa menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun, dekat sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku pukul 10.57 pagi dan kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Dua anggota terlibat iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip dari Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah tadi dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman berkata, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden letupan yang mengorbankan dua anggota tentera darat ketika Latihan Membaling Grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah, semalam.

Katanya, Tentera Darat Malaysia memberi jaminan bahawa segala aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Tentera Darat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan dua warganya dan menyampaikan ucapan takziah buat kedua-dua keluarga mangsa dan mendoakan mereka bertambah dengan dugaan atas kehilangan orang tersayang.

Kedua-dua anggota telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Walau bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital. Jenazah akan dihantar ke hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN