IPOH: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menjalin kerjasama dengan Great Eastern Takaful Berhad (GETB) bagi melancarkan tiga skim perlindungan baharu yang mampu milik kepada warga pendidik.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, skim tersebut ialah Skim Pendidik Muda, Skim Pendidik Perdana dan Skim Pendidik Budiman dengan caruman serendah RM20 sebulan atau 66 sen sehari.
Menurut Wan Munadi, ketiga-tiga skim itu sangat penting sebagai pilihan kepada guru serta kakitangan sokongan dalam mendepani keperluan kewangan semasa yang semakin mencabar.
Jelasnya, antara cabaran kewangan semasa ialah kos kesihatan yang semakin meningkat selain kenaikan bayaran premium bulanan oleh syarikat insurans dan takaful akibat inflasi perubatan.
“Ini merupakan komitmen berterusan YGMB untuk memastikan kebajikan guru, kakitangan pendidikan serta pesara sentiasa terpelihara,” katanya semasa berucap dalam majlis pelancaran tiga skim tersebut di sini hari ini bersempena Sambutan Hari Guru.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas, Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah dan Ketua Pemasaran, Rashida Mior Ahmad Darwish.
Skim Pendidik Muda disasarkan kepada mereka yang baharu memulakan kerjaya menerusi perlindungan asas meliputi kematian, hilang upaya kekal dan menyeluruh (TPD) serta 50 penyakit kritikal dengan bayaran serendah RM20 sebulan sehingga umur 60 tahun.
Skim Pendidik Perdana adalah untuk guru yang telah berkeluarga melalui perlindungan kepada ahli berserta pasangan dan anak-anak mengikut bilangan dengan bayaran RM49 sebulan sehingga umur 60 tahun.
Skim Pendidik Budiman menyamai Skim Pendidik Perdana namun menawarkan perlindungan sehingga ahli berusia 70 tahun dengan bayaran bulanan RM45, RM33 untuk pasangan dan RM21 untuk anak.
Wan Munadi berharap, seramai 10,000 hingga 20,000 warga pendidik, guru dan kakitangan sokongan dapat menyertai skim perlindungan tersebut pada tahun ini.
“Saya berpuas hati apabila YGMB dapat tampil dengan solusi mampu milik kerana tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan, tiada peningkatan caruman bulanan serta proses tuntutan manfaat yang mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Rashida berkata, pelancaran skim itu membuktikan GETB menyediakan pelan perlindungan takaful yang inklusif dan mampan kepada komuniti.
“Kerjasama dengan YGMB membolehkan kami menyediakan perlindungan berskala nasional yang menitikberatkan keperluan para guru dan kakitangan sokongan Kementerian Pendidikan, disamping membuka ruang kerjasama jangka panjang yang lebih berimpak tinggi,” katanya.-UTUSAN










