PETALING JAYA: Inginkan kehidupan selesa, tidak menyusahkan anak-anak dan risaukan faktor keselamatan antara alasan golongan berusia memilih menetap di pusat penjagaan warga emas.
Menurut mereka, pusat penjagaan warga emas bukanlah tempat untuk anak-anak ‘membuang’ ibu bapa yang sudah tua.
Sebaliknya, ia merupakan tempat perlindungan yang selesa, mempunyai pelbagai aktiviti malah ada juga yang disediakan dalam keadaan mewah bergantung kepada kemampuan yang dipilih sendiri oleh ibu bapa atau anak-anak mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pusat jagaan sekitar Lembah Klang mendapati, sebahagian penghuni mengakui keputusan mereka dibuat secara sukarela demi mendapatkan penjagaan lebih baik selain mengelakkan hidup bersendirian di rumah.
Seorang penghuni Mak Timah (bukan nama sebenar), 72, berkata, dia memilih tinggal di pusat jagaan sejak dua tahun lalu kerana sering rasa sunyi tinggal seorang diri selepas kematian suaminya.
Katanya, anak-anaknya masing-masing bekerja dan tinggal berjauhan menyebabkan dia lebih selesa berada di pusat jagaan.
“Ramai salah faham, mereka ingat duduk rumah orang tua maknanya anak buang ibu bapa. Sebenarnya saya sendiri yang pilih duduk sini sebab fikir keselamatan diri dan tidak mahu susahkan anak-anak.
“Kalau duduk rumah anak pun siang hari mereka kerja juga. Kita tetap duduk seorang diri dan bosan. Di sini ada ramai kawan, boleh berbual dan buat macam-macam aktiviti bersama,” katanya.
Menurutnya, penghuni pusat jagaan turut mengikuti aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah, kelas mengaji al-Quran dan tazkirah selain aktiviti santai yang membantu mengisi masa lapang.
“Ada juga kelas mengait, menjahit dan aktiviti tangan lain. Sekurang-kurangnya otak kita aktif dan tidak fikir perkara sedih sangat. Hidup pun rasa lebih tenang,” katanya.
Seorang lagi penghuni, Rahman Taib (bukan nama sebenar), 68, berkata, dia pada mulanya keberatan untuk tinggal di pusat jagaan kerana bimbang dipandang serong masyarakat.
Bagaimanapun katanya, tanggapan itu berubah selepas melihat sendiri suasana pusat jagaan yang lebih selesa, memandangkan dirinya yang hidup sebatang kara tanpa isteri dan anak-anak.
“Saya tidak berkahwin, bila duduk dekat sini makan minum terjaga, ubat ikut waktu dan ada orang pantau kesihatan. Paling penting tidak rasa sunyi sebab ada ramai kawan seusia.
“Kami boleh beribadah sama-sama, minum petang bersama dan berbual macam keluarga sendiri. Kadang-kadang lebih meriah daripada duduk rumah seorang diri tengok dinding, tidaklah takut meninggal seorang,” katanya.
Menurutnya, masyarakat perlu mengubah persepsi bahawa semua penghuni pusat jagaan diabaikan anak-anak kerana ada dalam kalangan warga emas sendiri memilih kehidupan lebih santai dan teratur di pusat jagaan.
Semalam akhbar ini melaporkan lebih ramai warga emas berisiko mati sendirian di rumah akibat ditinggalkan keluarga atau hidup bersendirian.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 menunjukkan, 18.8 peratus warga emas di Malaysia tinggal bersendirian meningkat hampir tiga kali ganda berbanding 6.3 peratus pada 2018.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, trend tersebut turut mendorong pertambahan pusat jagaan swasta yang menawarkan kemudahan lebih moden dan selesa mengikut kemampuan penghuni.
Katanya, terdapat pusat jagaan yang menyediakan pelbagai pakej dengan bayaran antara RM2,500 hingga RM12,000 sebulan bergantung kepada jenis perkhidmatan ditawarkan termasuk penjagaan kesihatan, pemantauan harian serta aktiviti untuk penghuni.
“Malah sekarang ada juga pusat jagaan bertaraf premium yang konsepnya lebih seperti hotel atau pusat persaraan. Ada kemudahan seperti kolam renang, taman rekreasi, ruang santai dan jururawat peribadi.
“Penghuni juga boleh memilih sama ada mahu tinggal di bilik persendirian atau berkongsi bilik dengan penghuni lain mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing,” katanya.-UTUSAN.









