PIP bakal jadi pintu eksport baharu rantau ASEAN - Utusan Malaysia

PIP bakal jadi pintu eksport baharu rantau ASEAN

PIP yang beroperasi di Padang Besar, Perlis, bakal menjadi pintu eksport baharu di rantau ASEAN dengan kemudahan logistik bersepadu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Perlis Inland Port (PIP) bakal menjadi pintu eksport baharu di rantau ASEAN berikutan kemudahan logistik bersepadu itu berupaya menghubungkan kawasan perindustrian di selatan Thailand dengan pelabuhan utama negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kemudahan itu berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi khususnya di negeri ini dan wilayah utara Semenanjung.

Beliau berkata, PIP dibangunkan bertujuan untuk menggantikan fungsi terminal kargo di Stesen Kereta Api Padang Besar yang kini hampir mencapai kapasiti maksimum.

“Pelabuhan darat ini mempunyai kedudukan strategik kerana menghubungkan Malaysia dengan Thailand sebelum membuka akses perdagangan ke Asia dan Asia Tengah.

“PIP juga merupakan satu penghubung penting antara Malaysia dan Thailand serta berpotensi menjadi hab logistik utama di rantau ini. Kita yakin perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand akan terus meningkat melalui kemudahan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin-PIP, di sini hari ini.

Menurut Anthony, kerajaan juga berharap kawasan perindustrian di selatan Thailand dapat memanfaatkan kemudahan PIP sebagai pintu masuk utama bagi aktiviti eksport ke pasaran antarabangsa.

Katanya, antara komponen terpenting PIP ialah pembinaan spur line yang menghubungkan kemudahan tersebut dengan landasan utama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Selain itu, PIP turut dilengkapi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang membolehkannya beroperasi sebagai kawasan berstatus bonded area untuk urusan perdagangan rentas sempadan,” katanya.

Katanya, projek itu juga akan membantu membangunkan sektor logistik negara dan selari dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak penggunaan rel bagi pengangkutan kargo.

“Ia dijangka dapat mempercepatkan transformasi sistem logistik negara serta menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu bagi Perlis dan Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN