Pemuda UMNO Kangar kecam tindakan letak kalimah Allah dalam tokong - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Kangar kecam tindakan letak kalimah Allah dalam tokong

SAIFUL Fariddil Jasmi bertemu dengan pemilik kedai bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu kalimah Allah di dalam tokong di Seriab, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemuda UMNO Bahagian Kangar kecewa dan kesal berhubung satu kes kalimah Allah SWT di dalam tokong di hadapan sebuah premis di Seriab, di sini.

Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi berkata, beliau telah menerima satu aduan beserta gambar yang menunjukkan kalimah Allah diletakkan di dalam tokong di kawasan itu.

Katanya, susulan itu, beliau telah ke premis tersebut dan bertemu dengan pemilik kedai untuk mendapatkan penjelasan berhubung motif dan tujuan tindakan itu.

“Dalam pertemuan tersebut, pemilik premis mengakui perkara berkenaan dan telah memohon maaf atas perbuatan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, demi menjaga kesucian agama Islam serta memastikan perkara seperti ini tidak berulang, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kangar akan membuat satu laporan polis agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan.

“Kami menyeru pihak berkuasa untuk mengambil perhatian serius dan menjalankan siasatan terperinci mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Kami juga menggesa agar garis panduan jelas serta tindakan penguatkuasaan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak didapati menyalahgunakan kalimah suci agama Islam.

“Pada masa sama, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kangar kekal komited untuk mempertahankan kesucian agama Islam serta menjaga keharmonian antara agama di negara ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, gambar kalimah Allah SWT di dalam tokong tular di media sosial yang sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan rakyat di negeri ini.

Saiful Fariddil berkata, pihaknya memandang serius perbuatan itu kerana ia menyentuh kesucian kalimah Allah dan sensitiviti umat Islam.

“Tindakan sedemikian adalah amat tidak wajar dan boleh menimbulkan keresahan serta kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Kami menegaskan bahawa setiap pihak hendaklah lebih peka dan menghormati sensitiviti agama lain demi memelihara keamanan dan perpaduan masyarakat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN