Pas Perlis tunggu keputusan pimpinan Pusat hari ini

Pas Perlis tunggu keputusan pimpinan Pusat hari ini

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Wakil rakyat Pas Perlis menunggu keputusan kepe­mimpinan parti itu diperingkat Pusat berhubung soal undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dijadual pada 3 hingga 5 Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli berkata, Pas Pusat dijang­ka mengadakan mesyuarat hari ini dan dipercayai membuat ke­putusan berkaitan.

Bekas Menteri Besar itu juga memaklumkan bahawa beliau berada di Mekah dan tidak sempat menghadiri sidang DUN tersebut.

“Saya di Mekah sehingga 16 Jun depan, bagaimana hendak undi tidak percaya? Tidak perlu risau (Abu Bakar), tunggu saya balik,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu Abu Bakar mene­gaskan akan membubarkan DUN Perlis sekiranya enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam sidang DUN yang dijadual pada 3 hingga 5 Jun ini.

Kata Abu Bakar, beliau tidak mempunyai pilihan dan me­nunggu sebarang tindakan dari wakil rakyat Pas tersebut jika berhasrat berbuat demikian.

Kelmarin Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menghormati semangat setiakawan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ia termasuk dalam kemelut politik di Negeri Sembilan selain sebelum ini telah bertindak menyokong usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dari Pas di Perlis.

Ahli Parlimen Marang itu turut memaklumkan akan berbincang dengan pimpinan Perlis mengenai tindakan selanjutnya.

Sidang DUN Perlis dijadual berlangsung pada 3 sehingga 5 Jun depan dijangka menarik perhatian dengan kemungkinan enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.

Sebelum ini, enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang sepatutnya berlangsung pada 21 sehingga 23 April lalu.

Desakan tersebut diketuai Mohd. Shukri bersama lima yang lain iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).

Bagaimanapun Abu Bakar menafikan penangguhan sidang DUN Perlis tersebut disebabkan beliau takut digulingkan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN