Paras air tiga empangan MADA masih bawah 40%

Paras air tiga empangan MADA masih bawah 40%

PARAS air Empangan Pedu masih sekitar 40.64. peratus . - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Paras takungan air di tiga empangan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih berada di bawah paras 40 peratus meskipun taburan hujan berlaku di negeri ini sejak minggu lalu.

Semakan Utusan Malaysia mendapati, ketiga-tiga empangan iaitu Empangan Pedu, Muda dan Ahning mencatatkan paras takungan terkini sebanyak 39.83 peratus atau 487,136 ekar kaki.

Mengikut pecahan, takungan Empangan Pedu berada pada paras 355,585 ekar kaki atau 40.64 peratus dengan sifar jumlah pelepasan air ketika ini.

Manakala, Empangan Muda dan Ahning masing-masing merekodkan takungan berjumlah 16,450 ekar kaki (13.16 peratus) dan 115,101 ekar kaki (51.61 peratus) dengan kedua-duanya juga sifar pelepasan air.

Sebelum ini, MADA memaklumkan takungan semasa yang berada pada tahap rendah dan belum mencapai kapasiti yang selesa tidak dapat menyokong sepenuhnya pengairan tanaman padi.

Sementara itu, Pengerusi Ba­dan Bertindak Petani di Kawasan MADA, Che Ani Mat Zain berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kala­ngan pesawah yang memerlu­kan bekalan air mencukupi un­tuk penanaman padi.

“Keadaan ini antara dua isu utama yang dihadapi para pesawah di Kedah hari ini, selain faktor kos yang tinggi bekalan air juga memainkan peranan yang cukup besar untuk membolehkan padi ditanam.

“Sebab itu ketika MADA me­ngesyorkan agar dilaksanakan kaedah tabur terus kering (TTK), ramai pesawah yang membantah dan tidak akan mengikut saranan itu kerana risiko yang amat tinggi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Seorang pesawah, Ridzuan Mansor, 54, berkata, keadaan itu boleh menjejaskan jadual tanaman sekiranya paras air terus menyusut dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pesawah ki­ni amat bergantung kepada pe­lepasan air dari empangan untuk memastikan kerja mengerjakan sawah dapat dilakukan mengikut jadual.

“Kalau air tidak cukup, ramai pesawah mungkin terpaksa tangguh lagi tanam padi sebab apabila sudah keluar modal yang sedia tinggi ketika ini, kami berdepan pula risiko padi tidak menjadi kalau bekalan air tidak menentu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN