TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki yang mengambil upah menghantar motosikal jenis Yamaha RXZ dipercayai diseludup dari Thailand ke Johor di Jalan Chabang Empat Tok Mek Ngoh di sini kelmarin.
Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan pada pukul 8 malam menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan rutin anggota unit bermotosikal telah mengesan sebuah trak pikap jenis Isuzu D-Max dalam keadaan mencurigakan membawa motosikal berkenaan.
Katanya, bertugas kemudian menahan trak pikap tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati nombor enjin pada motosikal Yamaha RXZ itu tidak didaftarkan di Malaysia.
“Jadi kita tidak menolak kemungkinan motosikal tersebut dipercayai dibawa masuk dari Thailand secara tidak sah melalui pangkalan haram.
“Siasatan awal mendapati suspek berurusan dengan seorang lelaki tidak dikenali untuk mengambil motosikal yang dibawa melalui sungai berhampiran pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang, Pasir Mas sebelum dihantar kepada pembeli di Johor,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, soal siasat mendapati suuspek dipercayai menerima upah RM400 bagi penghantaran motosikal tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan telah dirujuk kepada Pejabat Kastam Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.-UTUSAN










