PUTRAJAYA: Kerjasama dengan fasiliti kesihatan swasta dan institusi pendidikan kejururawatan merupakan antara usaha dilaksanakan untuk menangani keperluan penjagaan warga emas termasuk kekurangan pakar geriatrik di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib mengakui, keperluan terhadap perkhidmatan geriatrik akan terus meningkat memandangkan Malaysia sedang menuju status negara menua.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana organisasi yang dapat membantu memperkasa perkhidmatan dan kepakaran sedia ada dalam bidang berkenaan.
“Daripada pakar-pakar yang ada daripada segi kepentingan geriatrik untuk warga emas, mereka (ada) di lokasi di hospital negeri dan mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk pergi ke kawasan-kawasan hospital lain untuk memberikan maklumat kepada doktor-doktor lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketselepas merasmikan Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2026 dan Seminar Kejururawatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, negara kini berdepan cabaran besar dalam menyediakan penjagaan kesihatan kepada golongan warga emas apabila hanya mempunyai 67 pakar geriatrik bagi menampung keperluan kira-kira 4.1 juta penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kepakaran sedia ada dalam bidang berkenaan akan terus diperkasa bagi membantu meningkatkan mutu penjagaan warga emas terutama di fasiliti kesihatan awam.
“Daripada kepakaran yang ada, kita akan perkasakan daripada segi mereka di dalam industri perubatan untuk menolong sebanyak yang boleh.
“Dalam usaha ini kita hendak pastikan tanggungan bukan sahaja (terletak) di bawah kerajaan tetapi juga hospital swasta. Kalau kita perlu pertingkatkan, kita akan usahakan,” ujarnya.-UTUSAN.









