Kehadiran 40 kawanan gajah undang persoalan

Kehadiran 40 kawanan gajah undang persoalan

KAWANAN gajah merayau mencari makanan di pinggir Jalan Kuala Tahan ke Mat Daling berdekatan Bukit Awan, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Situasi gajah kehilangan habitat asal semakin ketara apabila hampir 40 ekor kawanan haiwan itu berkampung berdekatan Jalan Kuala Tahan ke Mat Daling di kawasan Ulu Tembeling di sini.

Kehadiran kawanan gajah itu sejak lima tahun lalu di Bukit Awan, Kampung Samas dan Kampung Kuala Sat berdekatan jalan tersebut pada mulanya kurang daripada 10 ekor, kini jumlahnya bertambah.

Ia sekali gus mengundang persoalan penduduk tentang kehidupan haiwan itu daripada aspek rehabilitasi, makanan, kawalan keselamatan dan ke­pen­tingan pelancongan.

Difahamkan, kawasan tersebut menjadi tumpuan kawanan gajah kerana ia adalah hutan sekunder yang masih terdapat saki-baki rumput napier dan tumbuhan muda yang menjadi makanan haiwan tersebut.

Pencinta haiwan liar dan alam sekitar, Sabri Abdullah berkata, kerajaan perlu mewujudkan kawasan ‘bank makanan’ lebih luas dengan menanam rumput napier, pokok pisang dan sebagainya yang agak jauh dari pinggir jalan.

“Kehadiran gajah berdekatan jalan itu mewujudkan konflik antara manusia dan haiwan. Sejak beberapa tahun lalu sudah ada laporan kejadian menceroboh tanaman dan mendekati kediaman penduduk Kampung Kuala Sat, Kampung Pagi dan merosakkan premis kawasan rehat di Bukit Awan.

“Kebelakangan ini penduduk bimbang apabila hutan sekunder yang menjadi kawasan rayau berdekatan jalan ini tidak ada tumbuhan lagi. Gajah mengula­ngi tabiat sama iaitu menceroboh kawasan tanaman penduduk selain merosakkan harta benda awam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Daripada aspek keselamatan, Sabri yang juga Penolong Pengurus Tekoma Resort Kuala Tahan berkata, kesedaran perlu dalam kalangan masyarakat dan pelancong terutama pengguna jalan raya di kawasan itu supaya lebih berhati-hati dan peka de­ngan kehadiran gajah.

“Papan tanda amaran perlu dipasang di kawasan berbahaya supaya orang ramai lebih waspada terutama sebelah malam. Saya sendiri pernah melihat ada kenderaan yang membunyikan hon berulang kali apabila terse­rempak dengan gajah menyebabkan haiwan ini panik dan lari masuk ke hutan,” katanya.

Berkongsi pengalaman yang sama, penduduk Kampung Pagi, Satar Ahmad, 50, berkata, pihak berwajib perlu memasang pagar dan menyediakan tempat khas untuk penduduk dan pelancong melihat gajah yang kebiasaannya berada di lokasi berkenaan pada sebelah petang.

“Ada pengguna jalan raya yang memberhentikan kende­raan mengambil gambar bersama kanak-kanak dan situasi ini boleh mengundang risiko ke­selamatan kerana jarak kawanan gajah dengan jalan raya terlalu dekat,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN