KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sehingga semalam masih belum menerima surat pemakluman peletakan jawatan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas supaya tindakan lanjut boleh diambil selepas notis pemakluman dibuat oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN).
“Kami sedang menunggu maklum balas Larut (Hamzah) kerana sehingga hari ini kami belum menerima surat daripada beliau. Larut perlu beri surat kepada kami supaya tindakan boleh dibuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Hamzah bukan lagi ketua pembangkang di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, susulan peletakan jawatan itu, beliau mengarahkan Takiyuddin menghantar surat rasmi memaklumkan kekosongan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Malah Takiyuddin juga sebelum ini memaklumkan Pas sudah mempunyai calon yang sesuai untuk menggantikan Hamzah.
“Perkara itu dalam peringkat perbincangan dan belum diputuskan lagi,” katanya.
Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi Hamzah mengenai perkara itu gagal.-UTUSAN.










