SEREMBAN: Kediaman Rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong di Ampangan di sini telah diarah untuk dikosongkan serta-merta.
Arahan itu dikeluarkan menerusi surat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang memaklumkan pengosongan kompaun kediaman yang didiami Datuk Mubarak Dohak perlu dilaksanakan serta-merta.
Menurut surat kepada Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong itu, keputusan berkenaan dibuat selaras dengan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang pada 17 April lalu.
“Sehubungan itu, pihak tuan diarahkan melaksanakan pengosongan bangunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta-merta.
“Semua aset kerajaan negeri yang didaftarkan di premis Balai Undang Luak Sungei Ujong hendaklah berada dalam keadaan baik bagi tujuan pemeriksaan semula kelak,” menurut surat itu.
Sementara itu, pihak Balai Undang Sungei Ujong telah menerima surat pengosongan daripada wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan kira-kira pukul 4.50 petang, semalam.
Wakil Pejabat Balai Undang memaklumkan bahawa surat berkenaan adalah sama seperti yang dilaporkan dan pihaknya akan merujuk kepada peguam bagi tindakan lanjut.
Sebelum ini, kerajaan negeri menegaskan tidak mengiktiraf tindakan Undang Yang Empat yang mengisytiharkan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dilucutkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan tersebut tidak sah kerana Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan itu bukan lagi Undang Luak Sungei Ujong ke-10.
Menurutnya, pengisytiharan berkenaan tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.
Ini kerana individu terbabit tidak lagi mempunyai kuasa serta fungsi sebagai Undang selain bertentangan dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.-UTUSAN.









