Yayasan Pahang rangkul anugerah dalam MTEA 2026 menerusi sistem myTahfiz - Utusan Malaysia

Yayasan Pahang rangkul anugerah dalam MTEA 2026 menerusi sistem myTahfiz

MAHMUD Mohd. Nawawi (empat dari kiri) mewakili Yayasan Pahang menerima trofi Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia (MTEA) 2026 menerusi inovasi Sistem Pemantauan Hafazan Pra Tahfiz Kemas (myTahfiz).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Pahang mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila menang kategori Pengurusan Data-Organisasi Kerajaan dalam Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia (MTEA) 2026 menerusi inovasi Sistem Pemantauan Hafazan Pra Tahfiz Kemas (myTahfiz).

Anugerah berkenaan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd. Nawawi, dalam majlis di InterContinental Hotel Kuala Lumpur.

Majlis berprestij anjuran Asian Business Review itu turut menghimpunkan pelbagai organisasi ternama dari sektor korporat dan awam, termasuk nama-nama besar seperti Petronas, CIMB Bank Berhad dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Kehadiran Yayasan Pahang sebaris dengan organisasi-organisasi terkemuka tersebut menjadikan pengiktirafan itu lebih bermakna, sekali gus mencerminkan keupayaan agensi berkenaan untuk berdiri setanding dengan pemain utama negara dalam penerapan penyelesaian teknologi berimpak tinggi.

Kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Yayasan Pahang dalam memanfaatkan pendigitalan bagi memperkasa pendidikan awal kanak-kanak berasaskan al-Quran.

myTahfiz dibangunkan sebagai platform digital untuk merekod, menyimpan dan menganalisis pencapaian hafazan murid-murid Tabika Kemas secara lebih sistematik, teratur dan bersepadu.

Melalui sistem itu, guru-guru Tabika dapat merekod penilaian murid secara berkala dengan lebih tepat dan mudah diakses, di samping membolehkan pemantauan prestasi dilaksanakan secara lebih cekap dan menyeluruh.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan oleh Yayasan Pahang dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa program hafazan pra tahfiz di peringkat awal usia.

Dalam pelaksanaannya, Yayasan Pahang turut menyediakan modul hafazan yang dibangunkan oleh Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) serta memberi latihan kepada guru-guru Tabika yang terlibat dalam program tersebut.

Sistem myTahfiz mula digunakan pada 2024 sebagai projek rintis sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 2025, melibatkan kira-kira 140,000 murid Tabika Kemas di seluruh negara.

Pelaksanaan berskala besar itu mencerminkan keupayaan sistem berkenaan dalam memperkukuh pengurusan data murid, menyeragamkan kaedah penilaian dan meningkatkan kecekapan pemantauan program hafazan prasekolah secara nasional.

Kemenangan tersebut turut memperkukuh kedudukan Yayasan Pahang sebagai organisasi yang komited dalam meneroka penyelesaian digital berimpak tinggi, sekali gus menyokong usaha penambahbaikan berterusan dalam pengurusan pendidikan Islam awal kanak-kanak.

Pengiktirafan itu juga dilihat mampu membuka ruang kepada peluasan kerjasama strategik dan pengukuhan inisiatif transformasi digital organisasi pada masa hadapan.

Secara keseluruhan, kejayaan ini memperlihatkan peranan penting teknologi dalam meningkatkan kualiti, kecekapan dan keseragaman pelaksanaan pendidikan hafazan di peringkat prasekolah, sejajar dengan aspirasi Yayasan Pahang untuk terus memartabatkan masyarakat melalui pendekatan progresif dan berimpak tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN