UMNO Bentong minta Kementerian Pertahanan ambil serius isu buli di kem tentera - Utusan Malaysia

UMNO Bentong minta Kementerian Pertahanan ambil serius isu buli di kem tentera

MOHAMAD ZAINI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: UMNO Bahagian Bentong menggesa Kementerian Pertahanan agar memberi perhatian serius terhadap isu buli di kem tentera susulan insiden kematian seorang anggota, Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang dipercayai menjadi mangsa pukul di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja di sini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, kejadian itu mendukacitakan kerana ia merupakan kali pertama berlaku bukan sahaja di Bentong malah di negeri Pahang.

Jadi beliau berkata, pihak kementerian perlu mengambil langkah tegas supaya isu buli tidak menjadi masalah berlarutan yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

“UMNO Bahagian Bentong kesal dengan insiden ini dan berharap ia tidak berulang. Kita minta Kementerian Pertahanan ambil serius isu buli di kem tentera kerana ia melibatkan kematian.

“Kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk tindakan pendakwaan dan siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Zaini berkata, UMNO Bahagian Bentong turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Hari ini, media melaporkan, Prebet Muhammad Amirul Raziq yang sebelum ini dilaporkan parah akibat dipukul di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Bentong disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital di Temerloh kira-kira pukul. 9.45 pagi.

Terdahulu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas dipercayai dipukul oleh seorang anggota berpangkat koperal dalam kejadian pada 31 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN