BACHOK: Tiga buah blok bangunan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Muhammadiah, Kampung Kolam, Pak Badol, di sini terbakar petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.37 petang itu melibatkan blok akademik, bilik penyelia serta asrama pelajar lelaki.
Bagaimanapun, tiada tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan terlibat.
Komander Operasi, Mohd. Nazri Taib berkata, kebakaran ini membabitkan bangunan jenis kekal dengan anggaran keluasan berbeza.
“Blok pertama satu tingkat dengan berkeluasan 40 x 200 kaki persegi mengalami kemusnahan hampir keseluruhan iaitu 98 peratus.
“Blok kedua satu tingkat dengan keluasan 40 x 60 kaki persegi dianggarkan musnah 80 peratus, manakala blok ketiga berukuran sama tetapi dua tingkat mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Nazri memberitahu, seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok dengan bantuan BBP Ketereh, BBP Pasir Tumboh serta sebuah jentera tangki dari BBP Pengkalan Chepa dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.37 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 19 minit kemudian.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan nozel serta bantuan sumber air daripada tangki jentera dan sumber terbuka berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.10 petang dan operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,”katanya.
Mohd. Nazri berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan memaklumkan semua pelajar, guru dan anggota kumpulan pelaksana di sekolah berkenaan telah dipindahkan ke kawasan selamat sebaik kejadian berlaku.
“Pihak JPN Kelantan turut mengambil tindakan segera bagi memberi bantuan kepada warga sekolah yang terjejas,” ujarnya.-UTUSAN










