KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga Allahyarham Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, anggota tentera yang meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan yang disampaikan oleh Pegawai Agama Istana, Leftenan Kolonel Anuar Mohd. Ehwal kepada ayah allahyarham iaitu Rosafindi Tambi Chik di Masjid Felda Sungai Kelamah, Gemas kira-kira pukul 3 pagi hari ini sebelum urusan pengkebumian jenazah di tanah perkuburan berhampiran.
Anggota tentera berpangkat Prebet yang berkhidmat di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.34 pagi semalam selepas hampir dua minggu bertarung nyawa akibat kecederaan parah.
Allahyarham sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal ketika ditemukan di kem berkenaan kira-kira pukul 8.30 malam pada 30 Mac lalu. – UTUSAN










