SPANA sasar buka 10 cawangan baharu menjelang hujung tahun ini - Utusan Malaysia

SPANA sasar buka 10 cawangan baharu menjelang hujung tahun ini

SPANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pusat servis motosikal berteraskan komuniti, SPANA, menyasarkan pembukaan 10 cawangan baharu sepanjang tahun ini dalam usaha memperkukuhkan jenamanya.

Menurut Pengerusinya, Datuk Rosyam Nor, perancangan untuk memperluaskan rangkaian cawangan di seluruh negara telah dibincangkan secara menyeluruh, dengan Bangi dipilih sebagai lokasi bagi cawangan kedua.

Rosyam yang juga pelakon dan penerbit terkenal berkata, selain Lembah Klang, kawasan Pantai Timur turut dilihat mempunyai potensi besar untuk perkembangan perniagaan tersebut.

“Menjadi impian kami untuk melihat lebih banyak cawangan SPANA dibuka. Mengikut perancangan, 10 lagi cawangan akan diwujudkan, termasuk di Kuala Terengganu dan Kuantan selain sekitar Lembah Klang.

“Dalam jangka masa panjang, kami berharap SPANA dapat berkembang ke seluruh negara melalui konsep francais, sekali gus membuka peluang perniagaan kepada lebih ramai anak muda,” katanya.

Melihat sambutan yang amat menggalakkan, Rosyam berkata buat masa ini beliau tidak bercadang untuk mengembangkan perniagaan itu kepada bengkel kereta, sebaliknya mahu terus memperkukuh fokus dalam sektor motosikal.

“Sejak beroperasi Februari lalu, kami melihat peningkatan hampir 30 peratus pelanggan yang berdaftar melalui SPANA Prime Club. Ini membuktikan lebih ramai pemilik motosikal kini yakin dengan perkhidmatan yang kami tawarkan.

“Buat masa ini, kami mahu memberi fokus kepada bengkel motosikal terlebih dahulu. Kita semua tahu ramai pengguna motosikal bukan sekadar untuk gaya hidup, tetapi sebagai penyambung kehidupan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kesan konflik di Timur Tengah, Rosyam tidak menafikan peningkatan kos yang turut dirasai pelbagai pihak dalam sektor perniagaan. Namun, beliau menegaskan komitmen SPANA untuk mengekalkan harga barangan demi membantu pemilik motosikal.

SPANA

“Sejak awal penubuhan, objektif utama kami adalah menjadikan SPANA sebagai pusat sehenti bagi pengguna motosikal untuk mendapatkan barangan berkualiti pada harga berpatutan.

“Dalam keadaan ramai yang terkesan dengan kenaikan kos, SPANA bersyukur kerana masih mampu mengekalkan harga tanpa sebarang peningkatan. Pada masa sama, kami berharap situasi semasa tidak berpanjangan dan pihak kerajaan dapat membantu menstabilkan harga barangan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN