Pesakit jantung dipercayai dalang kes tetak di Triang, ditahan di CCU HKL - Utusan Malaysia

Pesakit jantung dipercayai dalang kes tetak di Triang, ditahan di CCU HKL

A. PREMANANDH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Seorang lelaki dipercayai antara dalang utama dalam kejadian tetak di sebuah kopitiam di Triang di sini diberkas polis ketika sedang menerima rawatan jantung di Wad Rawatan Rapi (CCU) Hospital Kuala Lumpur pada 4 April lalu.

Penahanan suspek berusia 39 tahun itu sekali gus memperkukuh siasatan kes kekerasan menggunakan senjata tajam yang berlaku pada 29 Mac lalu di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, tangkapan dibuat hasil risikan rapi serta maklumat orang awam.

Menurutnya, suspek, A. Premanandh atau lebih dikenali dengan panggilan Anandh berjaya dikesan ketika berada di wad CCU hospital berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Suspek ini dikenal pasti sebagai antara individu utama yang terlibat secara langsung dalam kejadian tetak di premis berkenaan. Walaupun mempunyai masalah kesihatan, semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki 12 rekod jenayah dan kesalahan berkaitan dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Ming Wang Kopitiam, Jalan Besar Mengkuang, Triang yang membabitkan beberapa individu dalam satu insiden pergaduhan.

Mangsa kejadian dilaporkan semakin stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN