KUALA LUMPUR: Pas sudah mempunyai calon yang akan mengisi kekosongan jawatan Ketua Pembangkang ditinggalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat parti sebelum dibawa ke mesyuarat gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk diperhalusi dan dipersetujui bersama rakan komponen.
“Secara asasnya, Pas akan mengetuai blok pembangkang. Namun ia perlu melalui perbincangan dalam Mesyuarat Pas Pusat dan seterusnya dibawa ke peringkat PN. Insya-Allah calon sudah ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Khairil Nizam, tindakan Hamzah melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang adalah langkah matang dan bertanggungjawab.
“Keputusan itu dilihat mampu meredakan ketegangan dan perbezaan yang berlaku dalam PN. Langkah ini menunjukkan kematangan dalam membuat keputusan demi kepentingan gabungan,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan Hamzah telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokthar.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN telah memutuskan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia akan dipegang oleh seorang ahli Parlimen daripada Pas.
Beliau berkata, nama individu yang bakal mengisi jawatan tersebut hanya akan diumumkan selepas beberapa proses dalaman parti dimuktamadkan.
Sementara itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada PN berhubung peletakan jawatan Ketua Pembangkang itu.
“Tidak ada makluman awal dan rasmi dari PN. Belum lagi,” katanya kepada akhbar ini.
Kelmarin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, beliau akan menghantar surat pemaklumkan mengenai kekosongan jawatan Ketua Pembangkang kepada Johari dalam masa terdekat.-UTUSAN.










