JERANTUT: Tragedi lemas di Sungai Pahang berdekatan Kampung Durian Hijau di sini yang meragut nyawa dua remaja bukan sekadar kisah kehilangan, tetapi menjadi saksi persahabatan yang tidak pernah renggang sejak kecil.
Ikatan akrab antara Muhammad Amirul Ashraf Abdullah dan Muhammad Danial Haikal Shamsudin, kedua-duanya berusia 14 tahun, akhirnya diabadikan apabila mereka disemadikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 24 di sini, seolah-olah terus bersama meskipun berada di alam berbeza.
Ibu kepada Muhammad Amirul Ashraf, Siti Nurfadila Jaafar, 33, menyifatkan hubungan mereka lebih daripada sekadar persahabatan.
“Muhammad Danial Haikal sering hadir ke rumah bukan sahaja untuk bertanya khabar, malah makan tengah hari dan bertegur sapa penuh mesra seolah-olah keluarga sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Abang kepada Muhammad Danial Haikal, Muhammad Adam, 30, mengakui ikatan persahabatan adiknya dan Muhammad Amirul Ashraf terlalu akrab sehingga sukar dipisahkan.
“Sejak kecil mereka memang tak boleh berpisah. Ke mana-mana mesti bersama. Kalau seorang tak ada, seorang lagi mesti cari,” katanya.
Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama rakan lain mandi di Sungai Pahang berhampiran Kampung Durian Hijau, Pulau Tawar petang Jumaat lalu sebelum mereka dipercayai dihanyutkan arus deras. Mayat Muhammad Danial Haikal ditemukan pukul 4.20 petang hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Penemuan itu disusuli pada keesokan harinya apabila jasad Muhammad Amirul Ashraf ditemukan terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi sama pada pukul 9.50 pagi.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kedua-dua jenazah selamat dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 24, masing-masing pada Sabtu dan Ahad lalu selepas proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jerantut.
“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR sejak hari pertama operasi dilancarkan sehinggalah kedua-dua mangsa ditemukan,” katanya. – UTUSAN










