KUALA PILAH: Pembukaan pintu Empangan Kubang Rusa di Kampung Sawah Lebar di sini telah memberi peluang kepada ratusan penduduk untuk mencuba nasib ‘memburu’ pelbagai spesies ikan air tawar.
Seorang penduduk, Mohd. Sul Shuhaimi, 28, berkata, memang sudah menjadi acara tahunan buat penduduk untuk menyertai aktiviti ‘mengoca’ di Sungai Muar berkenaan.
Menurutnya, ini kerana pelbagai spesies ikan air tawar boleh diperoleh termasuk lampam, baung dan tilapia malah udang galah.
“Sejak kecil lagi saya sudah menyertai aktiviti mengoca dan ini merupakan acara yang paling dinanti-nantikan oleh orang kampung.
“Empangan akan dibuka sekali atau dua kali dalam setahun dan biasanya selama kira-kira sebulan, namun kebanyakan orang akan datang pada hari pertama kerana suasananya lebih meriah,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Seorang lagi pengunjung, Halijah Shahari, 68, berkata, dia yang tinggal di Kampung Jemapoh Tengah tidak pernah melepaskan peluang menyertai aktiviti tersebut setiap kali dianjurkan.
“Setiap tahun saya datang, kadang-kdang setahun dua kali bergantung kepada keadaan. Saya datang bersama keluarga termasuk anak, menantu dan cucu.
“Sudah lebih 30 tahun saya ikut aktiviti ini sejak berkahwin. Dulu arwah suami yang selalu mengajak ke sini,” katanya.
Halijah berkata, meskipun tangkapan bagi tahun ini agak berkurangan berbanding tahun sebelumnya, namun tetap memberikan kepuasan kepadanya.
“Tahun ini ikan kecil-kecil sahaja, dahulu besar-besar. Tetapi yang kecil ini lebih sedap kerana isinya manis, selalunya saya masak goreng berlada,” katanya.
Empangan Kubang Rusa digunakan untuk kemudahan pengairan sawah padi dalam daerah ini. Difahamkan, pintu empangan tersebut dibuka bagi menggantikan air selain membersihkan tebing sungai sementara menunggu kerja penanaman semula padi.-UTUSAN.










