Asrama antara penyelesaian isu pelajar Malaysia di Thailand rentas sempadan-Kerajaan Kelantan

Asrama antara penyelesaian isu pelajar Malaysia di Thailand rentas sempadan-Kerajaan Kelantan

MOHAMED Fadzli Hassan semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Ahmad's dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Development di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melihat penyediaan penempatan khas seperti asrama sebagai langkah penyelesaian masalah pelajar-pelajar Malaysia di Thailand yang berulang-alik ke sekolah di Rantau Panjang menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pelajar-pelajar merupakan warganegara Malaysia dan berhak mendapat pendidikan di negara ini.

“Saya harap Kementerian Pendidikan Malaysia, Yayasan Islam Kelantan dan pihak-pihak berkuasa dapat mencari kaedah terbaik bagi memastikan pelajar-pelajar dari seberang (Thailand) dapat belajar dengan sempurna tanpa perlu berdepan masalah-masalah lain termasuk perundangan.

“Apapun kaedah yang bakal digariskan, perlu dibuat dengan cermat kerana masalah tersebut turut berkaitan dengan perundangan dan penyelesaiannya perlu dipastikan tidak bertentangan dengan undang-undang negara,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Ahmad’s dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Development di Tunjong, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, pihaknya berharap golongan ibu bapa dapat mematuhi setiap kaedah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa demi memastikan anak-anak mereka dapat menerima pendidikan sempurna di sekolah masing-masing.

“Pihak-pihak berkenaan di negeri ini akan menghasilkan satu kaedah dan kita minta supaya ibu bapa dapat memastikan anak-anak ini dapat terus belajar.

“Jangan hentikan (pembelajaran) tetapi patuhi kaedah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 34 pelajar dan murid sekolah hari ini selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah mereka di sini.

Kesemua pelajar dan murid berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan pukul 6.30 pagi.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua warganegara Malaysia itu menetap di Selatan Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN