PETALING JAYA: Impak kenaikan harga bahan api dunia terhadap kos penjanaan tenaga elektrik dijangka kekal terkawal susulan kepelbagaian sumber tenaga serta pelarasan kos menerusi mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA).
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Siti Safinah Salleh berkata, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 600 kWh ke bawah tidak terjejas kerana dikecualikan daripada pelarasan kos AFA.
Katanya, pengguna dengan penggunaan elektrik bulanan 1,000 kWh ke bawah pula layak menerima Insentif Cekap Tenaga sebagai galakan penggunaan tenaga secara lebih efisien.
“Hampir 9.2 juta pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia telah menikmati insentif cekap tenaga berjumlah RM2.8 bilion sejak ia diperkenalkan sebelum ini.
“Menyambut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita semua perlu berganding bahu untuk sama-sama menghadapi krisis ini.
“Sebagai pengguna tenaga, kita disarankan menggunakan elektrik secara cekap dan berhemah bagi memastikan kemampanan serta jaminan bekalan tenaga jangka panjang,” katanya semasa Taklimat Krisis Tenaga Global, semalam.
Siti Safinah berkata, dalam menghadapi situasi semasa, amalan kecekapan tenaga yang praktikal dan mudah perlu dilaksanakan oleh semua pengguna.
“Pertama, penggunaan penghawa dingin secara optimum dengan menetapkan suhu pada 24 darjah Celsius bagi penjimatan tenaga.
“Pastikan penyelenggaraan dilakukan secara berkala bagi menjamin kecekapan operasi serta membersihkan penapis sekurang-kurangnya sekali seminggu.
“Sekiranya mempunyai bajet tambahan, pengguna disaran beralih kepada penghawa dingin jenis inverter atau yang mempunyai penarafan cekap tenaga empat atau lima bintang,” katanya.
Selain itu, pengguna juga digalakkan menggunakan lampu LED yang lebih cekap tenaga.
Katanya, bagi pencahayaan waktu siang, penggunaan langsir nipis atau day curtain dapat membantu membolehkan cahaya semula jadi masuk ke ruang kerja sekali gus mengurangkan keperluan penggunaan lampu.
“Bagi pengguna yang telah mempunyai meter pintar, mereka disaran beralih kepada skim Time of Use Tariff yang dapat membantu mengurus penggunaan elektrik dengan lebih cekap berdasarkan corak penggunaan harian.
“Penjimatan bil elektrik bulanan dianggarkan antara lima hingga 10 peratus dengan kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak, iaitu dari pukul 10 malam hingga 2 petang,” katanya.
Beliau berkata, amalan mudah seperti menutup suis peralatan elektrik apabila tidak digunakan dapat membantu mengawal penggunaan tenaga.
Katanya, Suruhanjaya Tenaga juga menggalakkan pengguna memilih peralatan elektrik yang mempunyai label kecekapan tenaga empat atau lima bintang.
“Secara keseluruhan, amalan penjimatan tenaga bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik, malah turut menyumbang kepada usaha negara dalam menangani cabaran krisis tenaga global serta memastikan kelestarian sumber tenaga untuk jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










