KUALA LUMPUR- Yayasan Harik terus memperkukuh peranan dalam kerja-kerja kebajikan apabila menyampaikan sumbangan ‘bakul rezeki’ kepada 104 penerima dalam kalangan asnaf sempena Aidilfitri di Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat, di sini.
Pengasas Yayasan Harik, Harik Fauzi berkata, sumbangan tersebut merangkumi barangan asas seperti beras, minyak masak, garam, gula, tepung dan lain-lain keperluan harian bagi meringankan beban kos sara hidup penerima.
Beliau berkata, yayasan itu secara rasmi ditubuhkan pada 5 Februari lalu bagi memperluas gerakan kebajikan yang telah dimulakan sejak 2021.
“Penubuhan Yayasan Harik adalah platform untuk saya bergerak lebih luas dan tersusun. Sebelum ini saya bergerak sendiri, namun kini tiba masanya untuk mengembangkan lagi ‘movement’ agar lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.

“Yayasan ini bukanlah untuk menjana keuntungan, sebaliknya menjadi wadah kebajikan sepenuhnya, yang mana saya bergerak mengikut kemampuan saya,” katanya.
Terdahulu, program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa sebagai usaha membantu golongan memerlukan mendapatkan barangan keperluan asas.
Harik yang juga aktivis bebas berkata, dana bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu disalurkan melalui hasil perniagaan kopi miliknya, Kopi Pak Erik dan
BR Design Sdn Bhd, selain sumbangan rakan kolaborasi.

Beliau yang meminati kerja-kerja kebajikan serta gemar berkomunikasi dengan masyarakat mengakui cabaran tetap ada, namun percaya usaha yang konsisten dan berkualiti mampu memberi impak besar kepada komuniti.
Sehubungan itu katanya, Yayasan Harik terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana individu atau syarikat korporat yang berminat untuk berkolaborasi melalui program CSR, khususnya dalam bentuk sumbangan barangan keperluan.
“Saya amat mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama membantu rakyat yang memerlukan. Tagline Yayasan Harik adalah ‘Rakyat Untuk Rakyat’,” katanya.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti dan gerak kerja CSR Yayasan Harik boleh mengikuti perkembangan menerusi platform TikTok, Harik Fauzi.










