RAUB: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebak ketika menyantuni dua beradik, Ruby Adalia Balqis Mohd. Alawi dan Ahmad Balia Marqam yang kehilangan lima ahli keluarga dalam tragedi kebakaran menyayat hati di Kampung Pamah Kulat, Dong di sini pada 26 Januari lalu.
Beliau berkata, kehilangan seluruh ahli keluarga dalam sekelip mata merupakan dugaan besar dan tidak mampu digambarkan perasaan atas ujian berat yang menimpa dua beradik tersebut.
“Tiada kata yang benar-benar mampu menggambarkan perasaan atas ujian berat yang menimpa dua anak ini. Kehilangan seluruh ahli keluarga dalam sekelip mata adalah satu dugaan yang amat besar,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian dan mendengar taklimat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Wan Rosdy turut merafak sembah dan menjunjung kasih ke sini Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas perkenan berangkat menyantuni dua beradik tersebut.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kerana memberi jaminan pendidikan kepada anak-anak itu sehingga ke menara gading.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah menyalurkan bantuan awal dan akan terus memastikan kebajikan mereka diberi perhatian sepenuhnya termasuk aspek perlindungan, pendidikan serta sokongan berterusan demi masa depan yang lebih terjamin.
“Semoga kedua-dua beradik bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan yang berat ini. Marilah kita berdoa semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – UTUSAN










