UMPSA serah laporan jawatankuasa tatatertib pelajar hina Islam kepada KPT minggu depan - Utusan Malaysia

UMPSA serah laporan jawatankuasa tatatertib pelajar hina Islam kepada KPT minggu depan

YATIMAH Alias (tengah) dalam sidang akhbar pada Majlis Iftar UMPSA bersama Media 2026 di Swiss-bel Hotel di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) akan menyerahkan laporan jawatankuasa tatatertib membabitkan penuntut universiti itu yang ditahan polis kerana melakukan hantaran menghina Islam kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) minggu depan.

Laporan itu difahamkan akan membabitkan hukuman institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut terhadap penuntutnya yang dijangka diumumkan KPT.

Naib Canselornya, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, pihak universiti sudah mengambil tindakan sewajarnya selaras peraturan universiti dan undang-undang berkuat kuasa.

“UMPSA telah selesai menjalankan siasatan terhadap pelajar dan sedang dalam proses pendakwaan. Proses tatatertib dijalankan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti Dan Kolej Universiti  (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.

“Jika sabit kesalahan pelajar boleh dihukum sehingga membawa kepada hukuman dibuang daripada universiti merujuk Kaedah 58 Kaedah 58 Kaedah-Kaedah Universiti Dan Kolej Universiti  (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024.

“UMPSA tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian mengaitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Iftar UMPSA bersama Media 2026 di Swiss-bel Hotel di sini hari ini.

Baru‑baru ini, satu isu tular di media sosial yang membabitkan kandungan kontroversi yang menyinggung isu sensitif berkaitan 3R yang dikaitkan dengan akaun individu pelajar di universiti tersebut.

Kandungan terbabit termasuk gambar yang didakwa menunjukkan tindakan menghina agama Islam yang telah menjadi tular serta mencetuskan reaksi di media sosial.

Semalam, seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan, memijak naskhah al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial, sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat.

Tertuduh, S. Vikneswaran, 21, juga tidak mengaku bersalah atas tuduhan kedua iaitu membuat hantaran jelik di media sosial selepas kedua pertuduhan dibaca di depan hakim, Harmi Thamri Mohammad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN