KUANTAN: Persatuan Peguam Syarie Malaysia Pahang (PGSMP) menawarkan khidmat rundingan dan guaman syarie percuma bagi membantu keluarga serta waris tragedi pembunuhan lima sekeluarga di Cerating di sini menuntut hak menurut undang-undang.
Pengerusi PGSMP Pahang, Dr. Hasiah Mat Salleh berkata, tragedi seumpama itu bukan sahaja meninggalkan luka emosi yang mendalam terhadap keluarga mangsa, malah sering menimbulkan pelbagai persoalan besar berkaitan hak waris, pembahagian harta, dokumentasi dan proses perundangan yang perlu dihadapi dalam keadaan serba sukar.
Menurutnya, ramai waris yang berdepan kehilangan tragis berada dalam keadaan tertekan, bingung dan tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang saluran undang-undang yang boleh membantu mereka mendapatkan pembelaan sewajarnya.
“PGSMP hadir bukan sekadar untuk merakamkan simpati, tetapi untuk memastikan waris mangsa tidak dibiarkan berjuang sendirian. Kami bersedia menawarkan khidmat rundingan guaman syarie secara percuma serta menyediakan bantuan guaman percuma bagi urusan tuntutan harta pusaka dan harta sepencarian demi menjaga kebajikan serta membela hak waris,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Kelmarin, Dr. Hasiah bersama Exco Sukan, Mawardi Mohamad dan barisan ahli jawatankuasa PGSMP melawat keluarga terbabit di Cerating sebagai manifestasi keprihatinan dan tanggungjawab sosial persatuan tersebut terhadap waris yang sedang berdepan ujian cukup berat susulan tragedi itu.
Dr. Hasiah menegaskan, pendekatan turun padang penting kerana ia membolehkan persatuan melihat sendiri realiti kehidupan keluarga yang terkesan, di samping memahami dengan lebih dekat keperluan sebenar mereka dari sudut kebajikan, emosi dan perundangan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PGSMP, Abdullah Hakim Ahmad berkata, profesion peguam tidak seharusnya dilihat hanya dalam ruang lingkup prosiding mahkamah semata-mata, sebaliknya turut memikul amanah besar untuk melaksanakan kebajikan kepada masyarakat.
“Tugas peguam bukan hanya berhujah di mahkamah atau mengendalikan dokumen perundangan, tetapi juga melaksanakan kebajikan. Peguam perlu hadir mendampingi masyarakat, khususnya ketika mereka diuji dengan musibah, agar kepakaran yang ada benar-benar menjadi alat pembelaan dan rahmat kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, badan profesional seperti PGSMP perlu terus memaknakan peranan melalui tindakan lapangan yang menyentuh kehidupan masyarakat, terutama golongan yang memerlukan bimbingan, pembelaan dan bantuan segera.
Dalam lawatan tersebut, Dr. Hasiah turut menyampaikan sumbangan PGSMP waris keluarga tersebut sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan berterusan persatuan terhadap keluarga tersebut. – UTUSAN










