BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengarahkan penjawat awam menjimatkan tenaga susulan risiko gangguan bekalan yang berpunca daripada konflik Asia Barat.
Langkah itu termasuk menggantung perjalanan ke luar negara dan menggalakkan penggunaan tangga berbanding lif, menurut jurucakap kerajaan, Lalida Periswiwatana.
“Perdana menteri mengarahkan bermula hari ini penjawat awam akan bekerja dari rumah,” katanya kepada wartawan, namun memaklumkan pengecualian akan diberikan untuk pegawai yang perlu berkhidmat kepada orang ramai.
Menteri Tenaga, Auttapol Rerkpiboon berkata, ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu mempunyai kira-kira 95 hari baki rizab tenaga dan sedang mencari sumber tambahan gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat (AS), Australia dan Afrika Selatan.
Lalida berkata, antara langkah lain yang turut diambil kerajaan bagi menjimatkan tenaga termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada 26 hingga 27 darjah Celsius serta menggalakkan pemakaian baju lengan pendek berbanding pakaian rasmi seperti sut dan tali leher.
Hampir 68 peratus keperluan tenaga Thailand dipenuhi melalui gas asli.
Menurut Suruhanjaya Kawal Selia Tenaga, lebih separuh bekalan LNG negara itu diperoleh daripada pengeluaran domestik di Teluk Thailand, manakala 35 peratus datang daripada import, termasuk 13 peratus dari negara jiran Myanmar.
Awal Mac lalu, Thailand turut menghentikan eksport tenaga ke semua negara kecuali Laos dan Myanmar.
Lalida berkata, pegawai kerajaan turut diarah mengurangkan penggunaan elektrik di bangunan pejabat dengan mematikan lampu serta peralatan elektrik apabila tidak digunakan.
Kerajaan juga akan meminta orang ramai untuk bekerjasama dan menggalakkan langkah penjimatan tenaga seperti berkongsi kereta.
“Jika keadaan bertambah buruk, kerajaan mungkin mempertimbangkan langkah wajib termasuk memalapkan papan tanda iklan di kedai, pawagam dan perniagaan serta menutup stesen minyak pada pukul 10 malam,” kata kerajaan dalam kenyataan.- AGENSI










