Kelmarin, aku berkesempatan menonton lagi Legasi Podcast yang dihoskan oleh Adlin Aman Ramli dan Datuk Khairul Anwar Salleh. Episod yang ke 55 itu menyaksikan tetamu mereka ialah salah seorang penyanyi kesukaan aku, Uji Rashid. Terus -terang, aku hanya menyaksikan Bahagian Ke-2nya sahaja dengan judul “Langit Tidak Selalu Cerah” dan dia ditayangkan di YouTube pertama kali pada tanggal 6 Januari 2026. Sila tekan link ini untuk menontonnya: https://youtu.be/P2ZIpPoAPMs?si=RA85As2CNeg4q6eo
Ya, sesudah menonton podcast berkenaan, aku memang tidak dapat menahan rasa selain daripada menulis apa yang aku rasa dan aku juga lebih terkejut kerana sejak podcast itu disiarkan, tiada mana-mana media yang “pick up” untuk menyatakan apa yang seharusnya dinyatakan.
Aku bukanlah bekas wartawan jenayah dan wartawan hiburan yang hebat yang pernah menang anugerah dunia. Tetapi sepanjang kehidupan aku sebagai wartawan memang banyak pengalaman yang aku lalui. Cerita Uji ini bukan aku tak tahu, tapi bukan juga aku mahir, cuma apa aku boleh kata ialah hakikat kepada Uji, bukanlah hakikat kepada semua.
Ada satu prinsip asas dalam kewartawanan dan penyiaran. Jika seseorang diberi ruang untuk membuat dakwaan serius terhadap orang lain, maka ruang yang sama harus diberikan kepada pihak yang disebut. Prinsip ini bukan sekadar etika media, malah berakar pada asas undang-undang seperti fair comment, natural justice dan hak untuk menjawab. Malangnya, temubual podcast antara Adlin dan Datuk Khairul bersama Uji ini gagal memenuhi piawaian paling asas tersebut.
Sepintas lalu, setelah diteliti, temubual “up, close and personal” itu lebih menyerupai monolog panjang yang dipenuhi dakwaan, keluhan dan insinuasi tanpa penjelasan yang tuntas. Soalan-soalan yang sepatutnya menuntut kejelasan hanya dibiarkan tergantung diudara.
Ambil sahaja isu yang paling menyentuh emosi iaitu keadaan kesihatan anak Uji, Chico Harahap. Dalam temubual itu, disebut tentang penderitaan yang dilalui, namun persoalan paling asas tidak dijelaskan. Apakah sebenarnya penyakit tersebut? Apakah diagnosis rasmi daripada doktor? Apakah rawatan yang disarankan? Dalam mana-mana wawancara serius, fakta perubatan ini penting bukan untuk sensasi, tetapi untuk memastikan naratif itu tidak sekadar bermain di wilayah simpati. Tidak dinafikan, Adlin ada bertanya tentang diagnosis itu tetapi ia berlalu tanpa benar-benar dijawab.
Begitu juga dengan isu royalti yang didakwa Uji hanya berjumlah RM12. Dakwaan seperti ini, jika benar, adalah sesuatu yang sangat serius kerana ia menyentuh struktur industri muzik dan hak artis. Tetapi temubual itu gagal melakukan perkara paling asas iaitu menyemak atau bertanya tentang kontrak. Apakah sebenarnya kandungan kontrak Uji dengan syarikat rakaman? Apakah struktur pembahagian royalti yang dipersetujui? Apakah tempoh kontrak tersebut? Tanpa dokumen, dakwaan RM12 itu hanya menjadi angka yang berlegar tanpa konteks.
Di sinilah kegagalan paling ketara dalam temubual tersebut. Ia tidak mencari dokumen, tidak mencari pengesahan dan tidak mencabar naratif yang diberikan. Dalam kewartawanan penyiasatan, soalan susulan adalah senjata utama. Di sini, ia seolah-olah tidak wujud. Lebih membimbangkan ialah apabila beberapa nama individu disebut secara langsung. Antara yang disebut ialah tokoh industri yang masih hidup seperti Datuk DJ Dave dan syarikat rakaman, EMI. Namun, tiada ruang diberikan untuk pandangan balas daripada mereka. Dalam undang-undang media, ini adalah wilayah yang sangat sensitif kerana ia boleh menjurus kepada elemen defamation (fitnah) jika dakwaan tidak disokong atau tidak diberikan hak menjawab.
Konsep fair comment bukan sekadar frasa retorik. Ia adalah prinsip yang memerlukan sesuatu komen itu dibuat secara jujur, berdasarkan fakta yang boleh disahkan serta berkaitan dengan kepentingan awam. Tanpa tiga elemen ini, sesuatu dakwaan boleh menjadi sekadar persepsi peribadi yang tidak diuji.
Temubual ini juga menyentuh beberapa tokoh yang telah meninggal dunia seperti Datuk Sharifah Aini dan Datuk Ahmad Nawab. Di sinilah keadaan menjadi lebih tidak selesa. Apabila seseorang yang sudah tiada disebut dengan nada yang kurang manis, kewajipan etika menjadi lebih besar kerana mereka tidak lagi mampu mempertahankan diri.
Uji bercerita tentang Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab dengan insinuasi yang tidak baik. Uji bercerita tentang bagaimana mendiang Broery Marantika mengusap-usap belakang badan Datuk Sharifah Aini ketika menyanyi lagu Sering Sejalan. Ya, aku jadi sedih mendengar kata-kata Uji.
Dalam sejarah kewartawanan, terdapat satu prinsip lama iaitu jangan memfitnah orang mati kerana mereka tidak mampu menjawab. Jika sesuatu dakwaan hendak dibangkitkan, ia mesti disokong dengan bukti, dokumen atau sekurang-kurangnya pengesahan daripada pihak ketiga. Dalam temubual ini, unsur corroboration itu hampir tidak wujud.
Apa yang akhirnya berlaku ialah satu naratif sepihak. Pendengar dibawa masuk ke dalam kisah yang penuh emosi tetapi miskin pengesahan. Ia bukan penyiasatan, bukan juga dialog, sebaliknya ia hanya cerita dari satu sudut pandang.
Dalam dunia podcast moden, ada kecenderungan untuk menjadikan platform ini sebagai ruang “terapi awam”. Tetapi apabila nama individu dan institusi disebut, ia tidak lagi sekadar terapi. Ia sudah masuk ke wilayah reputasi, sejarah industri dan kemungkinan implikasi undang-undang.
Di sinilah podcast ini gagal membezakan di antara empati dan kewartawanan. Empati penting, tetapi empati tanpa semakan fakta hanya menghasilkan naratif yang kabur. Jika tujuan temubual ini adalah untuk membersihkan nama atau menjelaskan sejarah, ia tidak berjaya melakukannya. Sebaliknya ia membuka lebih banyak persoalan daripada jawapan. Persoalan tentang kontrak. Persoalan tentang royalti. Persoalan tentang hubungan dalam industri.
Dan persoalan paling besar ialah di manakah kebenaran di antara semua cerita ini? Temubual ini mungkin menyentuh emosi ramai, tetapi dari sudut integriti media, ia meninggalkan rasa yang tidak selesa. Kerana dalam dunia penyiaran yang matang, simpati tidak boleh menggantikan bukti.
Dan apabila sesuatu wawancara yang sepatutnya menjelaskan sejarah hanya menambah kabut kepada kebenaran, maka ia bukan lagi sebuah temubual. Ia hanyalah sebuah cerita yang belum selesai. Tepuk dada tanyalah selera.
Saniboey Mohd Ismail adalah mantan wartawan, editor majalah, ketua jabatan di stesen televisyen tempatan serta stesen televisyen setelit, bekas Setiausaha Akhbar Menteri Belia & Sukan dan kini seorang penerbit filem dan rancangan televisyen tempatan.
Sekian.










