KUANTAN: Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bakal menjadi titik tolak penting dalam usaha kerajaan mengawal selia ekosistem industri gig yang kini melibatkan lebih 1.2 juta penggiat dan pelbagai platform digital.
Presiden Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, suruhanjaya itu akan berfungsi sebagai punca kuasa utama dalam memastikan pembangunan industri gig berjalan secara teratur dan berkesan.
Beliau menegaskan, SEGiM akan memberi tumpuan kepada lima aspek utama iaitu menyelaras dasar ekonomi gig, melindungi kebajikan penggiat, melaksanakan pembangunan ekosistem, mengawal selia aspek peningkatan kemahiran dan menyelaras kerjasama strategik antara pekerja serta platform.
“Dengan adanya SEGiM, segala isu berkaitan kebajikan, latihan semula dan peningkatan kemahiran dapat diurus secara menyeluruh. Ini sekali gus memberi jaminan kepada penggiat gig bahawa mereka tidak akan terpinggir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sharkar turut menzahirkan penghargaan kepada Kabinet kerana meluluskan penubuhan suruhanjaya tersebut, yang disifatkan sebagai bukti kerajaan pada hari ini menunaikan janji terhadap golongan pekerja gig.
Menurut beliau, umum mengetahui sektor ekonomi gig kini menyumbang kira-kira 17 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), angka itu tidak mustahil melonjak lebih 30 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Potensi besar ini tidak boleh dipandang ringan. Justeru, SEGiM akan memastikan ekosistem gig berkembang secara mampan dan memberi manfaat kepada semua pihak,” ujarnya.
Beliau menambah, penubuhan SEGiM juga penting dalam mengawal selia sistem percukaian, khususnya melibatkan platform antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.
“Langkah ini akan memastikan hasil negara dapat dipertingkatkan, selain memberi keadilan kepada penggiat gig tempatan yang selama ini beroperasi tanpa perlindungan sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, dengan penubuhan SEGiM, industri gig Malaysia dijangka memasuki era baharu yang lebih tersusun, berdaya saing dan mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara.
“MyGiG bersedia memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan, menjadi penggerak utama dalam melaksanakan tadbir urus bersama semua pemegang taruh,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kabinet meluluskan secara dasar penubuhan SEGiM bagi mengawal selia kebajikan dan perlindungan pekerja gig di negara ini.
Ahmad Zahid berkata, penubuhan suruhanjaya itu bertujuan menguatkuasakan Akta Pekerja Gig yang diluluskan tahun lalu, selain memastikan ekosistem pekerjaan gig lebih teratur dan terjamin.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan pula dilaporkan berkata, SEGiM akan dilaksanakan serta merta bagi memastikan perlindungan kepada pekerja gig dapat diperluaskan secara menyeluruh tanpa mengira bentuk pekerjaan gig yang diceburi. – UTUSAN










