KUANTAN: Gagasan Rumah Bangsa bukan perkara baharu, sebaliknya ia kesinambungan perjuangan asal bagi menyatukan orang Melayu ketika mana UMNO ditubuhkan pada 1946 bagi menentang Malayan Union.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, inisiatif diumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan mekanisme penyatuan yang memberikan ruang kepada bekas ahli untuk kembali bersama parti keramat tersebut.
“UMNO berhak melaksanakan usaha ini. Jika ada pihak yang tidak suka, jangan campur urusan. Rumah Bangsa adalah hak UMNO untuk mengukuhkan kedudukan dan menyatukan orang Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Sharkar berkata, keterbukaan tokoh-tokoh besar politik negara seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Khairy Jamaluddin yang menyambut baik gagasan tersebut sudah cukup untuk menambah kekuatan politik UMNO menjelang pilihan raya akan datang.
“Ini bukti jelas bahawa Rumah Bangsa mendapat sambutan positif. Kehadiran tokoh-tokoh berpengaruh akan mengukuhkan lagi kedudukan UMNO sebagai parti utama orang Melayu.
“Kepada mereka yang tidak ingin bersama, UMNO tidak memaksa. Kita hanya memberikan peluang kepada mereka yang mahu kembali. Itu sahaja,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua parti politik di negara ini sudah merasai pengalaman menjadi kerajaan dan memerintah.
Justeru, katanya, rakyat tentunya sudah menilai parti politik mana yang benar-benar mampu membela nasib dan kebajikan mereka, terutama dalam aspek pendidikan, hak bumiputera, ekonomi serta peluang pekerjaan yang merupakan teras perjuangan UMNO.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa UMNO mahu kembali menjadi “abang besar” dalam politik negara menerusi pelaksanaan gagasan tersebut.
“Rumah Bangsa bukan untuk mendominasi, tetapi untuk menyatukan. Ia lambang kesatuan, bukan dominasi. Inilah perjuangan sebenar UMNO yang akan terus diperkukuh demi masa depan bangsa dan negara,” ujarnya. – UTUSAN










