LUMUT: Hampir dua tahun tragedi nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meragut nyawa suaminya dan sembilan anggota TLDM yang lain, namun kenangan bersama Allahyarham masih segar di ingatan Noor Ain Mohd Ariffin, terutama setiap kali tiba Ramadan.
Noor Ain, 43, balu kepada Allahyarham Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi yang terkorban pada usia 41 tahun dalam nahas helikopter TLDM di Lumut pada 23 April 2024 itu berkata, ingatan terhadap arwah tidak pernah luput.
Menurutnya, dia bersama tiga anak mereka, Nurul Shahfi Iqah, 23, Nurul Shahfizah, 22, dan Mohammad Shahfirul Aizad, 17, masih terkesan dengan kehilangan insan yang menjadi tonggak keluarga itu.
“Setiap kali tiba Ramadan, kenangan berbuka puasa bersama arwah kembali bermain di fikiran. Kami sekeluarga selalu berkumpul dan arwah gemar membawa kami ke bazar Ramadan membeli juadah berbuka.
“Beberapa hari sebelum Aidilfitri pula, arwah akan membawa kami anak-beranak membeli-belah persiapan raya. Kami pernah membeli baju raya sedondon berwarna ungu, kenangan itu masih segar dalam ingatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Taman Lekir Indah di sini.
Noor Ain berkata, arwah suaminya juga sering berpesan supaya dia dan anak-anak belajar berdikari dalam menjalani kehidupan.
“Arwah selalu mengajar kami supaya tidak bergantung kepada orang lain. Jika kereta rosak, pergilah ke bengkel sendiri, uruskan sendiri. Apa sahaja urusan harian, cuba lakukan sendiri supaya tidak menyusahkan orang lain.
“Lebih setahun saya mengambil masa untuk benar-benar kuat selepas pemergian arwah. Namun hingga hari ini, ingatan kepada arwah tidak pernah pudar, lebih-lebih lagi apabila tiba Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, anak sulung pasangan tersebut, Nurul Shahfi Iqah berkata, dia dan adik-adiknya sering terkenang bapa mereka terutama ketika bulan Ramadan.
“Dulu setiap kali Ramadan, bapa akan ajak kami pergi bazar Ramadan membeli juadah berbuka puasa. Kenangan itu membuatkan kami sangat merinduinya.
“Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, rasa sunyi itu semakin terasa kerana bapa sudah tiada. Namun kami bersyukur kerana masih ada emak yang sentiasa kuat menjaga kami,” katanya.-UTUSAN.










