Puntung rokok punca utama, 238 notis dikeluarkan di Pahang - Utusan Malaysia

Puntung rokok punca utama, 238 notis dikeluarkan di Pahang

PESALAH kesalahan kebersihan menjalani hukuman khidmat masyarakat di bawah seliaan SWCorp Malaysia dengan melakukan kerja pembersihan kawasan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Membuang puntung rokok merata-rata antara kesalahan paling banyak direkodkan apabila Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang mengeluarkan 238 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) sejak penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bermula 1 Mac lalu.

Pengarah SWCorp Pahang, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, hampir 90 peratus daripada kes yang direkodkan membabitkan kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam.

Katanya, tindakan tegas termasuk Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) akan terus dipergiatkan bagi memastikan tahap kebersihan awam sentiasa terpelihara.

“Setakat ini, 19 orang kena saman (OKS) sudah dihadapkan ke mahkamah termasuk di Raub, Temerloh dan Kuantan, manakala 12 pesalah menjalani PKM di Taman Tasik Bandar Temerloh. Pelaksanaan PKM melibatkan tempoh antara satu hingga empat jam bermula pukul 9 pagi dengan semua pesalah berusia 18 tahun ke atas.

“SWCorp turut memberi kelonggaran kepada pesalah untuk memohon pelaksanaan PKM di lokasi berhampiran tempat tinggal masing-masing bagi memudahkan urusan dan mengurangkan kos perjalanan,” katanya ketika ditemui pada pelaksanaan PKM di sini.

Seorang pesalah, Azman, 31, mengakui kesilapannya membuang puntung rokok ketika bercuti di Pulau Langkawi, Kedah.

“Saya tidak menyangka penguatkuasaan dilaksanakan secara tegas kerana sebelum ini beranggapan tiada tindakan diambil,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesalah, Kasim Razak, 19, berkata, dia insaf selepas dikenakan tindakan kerana membuang puntung rokok di kawasan Esplanade Temerloh.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuang puntung rokok atau sampah merata-rata,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN