Prestasi SPM Pahang meningkat, GPN catat peningkatan 0.15 mata - Utusan Malaysia

Prestasi SPM Pahang meningkat, GPN catat peningkatan 0.15 mata

AHMAD Zamri Md Isa (tengah) selepas mengumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi negeri Pahang di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pencapaian calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi negeri Pahang menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya apabila Gred Purata Negeri (GPN) mencatatkan nilai 4.08 mata berbanding 4.23 mata pada tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Ahmad Zamri Md. Isa berkata, peningkatan 0.15 mata itu menggambarkan usaha bersepadu memperkasakan sekolah melalui sokongan berfokus, pemantauan berimpak tinggi dan intervensi instruksional yang sistematik.

Menurutnya, trend GPN dari 2021 hingga 2025 menunjukkan pola peningkatan yang konsisten.

“Pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) bagi sekolah bandar dan luar bandar juga meningkat, namun jurang pencapaian antara kedua-duanya sedikit melebar sebanyak 0.06 dengan peratusan jurang direkodkan 18.97 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPNP di sini hari ini.

Ahmad Zamri berkata, daripada 17,429 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2025 di negeri ini, seramai 671 calon (3.85 peratus) memperoleh keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, meningkat berbanding 595 calon (3.51 peratus) pada 2024.

“Peningkatan itu melibatkan tambahan 76 calon. Selain itu, seramai 4,859 calon (27.88 peratus) memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran, meningkat 359 calon berbanding tahun sebelumnya.

“Manakala 6,746 calon (38.71 peratus) berjaya memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau Gred E dalam semua mata pelajaran, meningkat 233 calon berbanding 2024,” katanya.

Beliau menegaskan, pencapaian tersebut adalah hasil komitmen semua pihak termasuk guru, pentadbir sekolah, ibu bapa dan pelajar sendiri dalam memastikan mutu pendidikan di Pahang terus meningkat.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN