BACHOK: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan siasatan berkait dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dibuat selepas polis menerima laporan berhubung perkara tersebut.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia bertepatan dengan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri semasa mesyuarat pada Jumaat lalu.
“Apa sahaja aduan, polis dikehendaki memberi keutamaan untuk menjalankan siasatan. Dalam kes ini, ia bermula dengan ada pihak membuat aduan.
“Kita (KDN) kena mulakan siasatan, namun masih terlalu awal dan saya enggan mengulas lanjut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersahur Sempena Program Penerapan Nilai-nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di Puspen Bachok di sini hari ini.
Saifuddin Nasution memberitahu, polis akan melihat secara menyeluruh perkara tersebut untuk menentukan hala tuju siasatan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis sedang menyiasat seorang individu berpengaruh tempatan bersama sebuah agensi media antarabangsa berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan.
Ia susulan laporan polis yang telah diterima pada Khamis lalu.-UTUSAN










