TEHERAN: Berikut perkembangan terkini sepanjang hari kelapan perang di Asia Barat yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel sebelum merebak ke negara Teluk pada Jumaat.
ISRAEL LANCAR SERANGAN BERSKALA LUAS
Tentera Israel mendakwa melancarkan gelombang serangan berskala luas ke atas beberapa sasaran di Teheran, ketika penyiar negara Iran melaporkan letupan berlaku di bahagian barat ibu negara itu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebelum itu mendakwa pihaknya mengesan satu lagi pelancaran peluru berpandu Iran menuju ke Israel, selepas beberapa letupan kedengaran di hab komersial Tel Aviv.
IRAN TOLAK CAMPUR TANGAN TRUMP
Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani, semalam mengecam campur tangan AS selepas Presiden Donald Trump menegaskan beliau perlu terlibat dalam pemilihan pengganti pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.
Beliau menegaskan, pemilihan kepimpinan Iran akan dibuat mengikut prosedur perlembagaan negara itu dan sepenuhnya berdasarkan kehendak rakyat Iran tanpa campur tangan asing.
AS TINGKAT PENGELUARAN SENJATA
Trump turut memaklumkan beberapa syarikat pertahanan utama AS bersetuju meningkatkan pengeluaran senjata canggih sehingga empat kali ganda, ketika konflik dengan Iran memasuki hari ketujuh.
Tentera AS berkata, lebih 3,000 sasaran diserang sepanjang minggu pertama konflik berkenaan.
HARGA MINYAK MELONJAK
Harga minyak mentah melonjak susulan kebimbangan gangguan bekalan tenaga global apabila serangan AS dan Israel ke atas Iran serta tindak balas Teheran di seluruh Teluk menggugat sektor berkenaan dan pengangkutan dunia.
Kontrak minyak penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent North Sea, melonjak kepada AS$92.69 setong (RM365.77), naik 8.5 peratus untuk Jumaat dan hampir 30 peratus untuk minggu ini.
ROKET SASAR LAPANGAN TERBANG BAGHDAD
Beberapa roket dilaporkan menyasar kompleks Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad yang menempatkan pangkalan tentera serta kemudahan diplomatik AS.
Kumpulan bersenjata dikenali sebagai Saraya Awliyaa al-Dam (Guardians of Blood), sebahagian daripada Penentangan Islam yang disokong Teheran di Iraq, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas pangkalan itu.
PENGAMAN PBB CEDERA DI LUBNAN
Beberapa anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Ghana dilaporkan cedera selepas pangkalan mereka diserang di selatan Lubnan, menurut laporan media negara itu, tanpa menyatakan pihak yang bertanggungjawab.
Israel sebelum ini meningkatkan serangan di selatan Lubnan dalam pertempurannya dengan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.
TRUMP TUNTUT IRAN MENYERAH KALAH
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menuntut Iran melakukan ‘penyerahan diri tanpa syarat’ sebagai satu-satunya jalan untuk menamatkan perang di Asia Barat.
Beliau turut berjanji membantu membangunkan semula ekonomi Iran sekiranya negara itu mematuhi tuntutan berkenaan.
Pendirian terbaharu itu dilihat sebagai peluasan besar matlamat perang Washington, yang sebelum ini menyatakan operasi ketenteraan hanya tertumpu kepada program peluru berpandu serta kekuatan tentera laut Iran.
PBB KECAM SERANGAN LANGGAR UNDANG-UNDANG
Setiausaha Agung PBB, António Guterres mengecam serangan yang disifatkan sebagai ‘melanggar undang-undang’ di seluruh Asia Barat dan memberi amaran konflik itu boleh terus merebak di luar kawalan.
Menurut beliau, krisis berkenaan menyebabkan penderitaan dan kemusnahan besar, selain menimbulkan risiko serius kepada ekonomi global.
HANYA SEMBILAN KAPAL MELALUI SELAT HORMUZ
Hanya sembilan kapal tangki minyak, kapal kargo dan kontena dilaporkan melalui Selat Hormuz sejak Isnin, menurut data MarineTraffic yang dianalisis oleh AFP.
Selat itu biasanya menjadi laluan transit hampir 20 peratus minyak mentah dunia dan sekitar 20 peratus gas asli cecair (LNG), tetapi konflik semasa hampir menutup sepenuhnya laluan itu.
PERANCIS KERAH KAPAL PEMBAWA HELIKOPTER
Perancis menghantar sebuah kapal pembawa helikopter ke Laut Mediterranean sebagai tindak balas terhadap perang, menurut kenyataan tentera Perancis kepada AFP.
Paris sebelum ini mengerahkan kapal induk utama dan sebuah frigat pada awal minggu ini.
LUBNAN REKOD 217 KORBAN, 300,000 TERPAKSA PINDAH
Jumlah korban di Lubnan meningkat kepada 217 orang, menurut Kementerian Kesihatan negara itu, apabila serangan udara Israel menghentam pinggir selatan Beirut, kawasan yang dikuasai kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.
Majlis Pelarian Norway (NRC) melaporkan 300,000 penduduk Lubnan terpaksa melarikan diri dan mempertikaikan kesahihan arahan Israel.










