KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memutuskan semua pasar raya besar, pasar raya dan kompleks beli-belah di negeri ini menutup sepenuhnya operasi pada 1 Syawal.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, hal ini kerana premis berkenaan hanya diarahkan menutup operasi separuh hari pada hari pertama sambutan Aidilfitri tahun lalu.
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri melalui Mesyuarat Exco menerima rayuan daripada persatuan serta pekerja pasar raya yang mahu diberikan peluang bercuti penuh pada hari raya pertama.
“Jika sebelum ini premis hanya ditutup separuh hari, pekerja pasar raya seolah-olah tidak dapat menikmati suasana beraya sepenuhnya bersama keluarga.
“Keputusan ini selari dengan usaha kerajaan negeri menghargai Aidilfitri sebagai hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Hilmi berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat menjaga kebajikan pekerja dalam sektor berkenaan.
Katanya, peraturan tersebut turut akan diguna pakai pada hari pertama sambutan Aidiladha.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu berkata, premis makanan segera dan kedai serbaneka hanya dibenarkan beroperasi selepas pukul 1 tengah hari pada hari pertama Aidilfitri.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi kelonggaran kepada pasar raya dan kompleks beli-belah untuk melanjutkan waktu operasi sehingga pukul 12 tengah malam pada malam raya.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu mendapat persetujuan antara majikan dan pekerja selain mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa.
“Biasanya premis ini beroperasi sehingga pukul 10 malam, namun jika ada permohonan kita boleh mempertimbangkan lanjutan sehingga pukul 12 tengah malam bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan akhir,” katanya.-UTUSAN










