KOTA BHARU: Pas Kelantan bersikap terbuka sekiranya ada pihak luar mahu membuat kajian atau audit terhadap pencapaian manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di bawah pentadbiran parti itu di negeri ini.
Ketua Penerangannya, Mohd. Asri Mat Daud berkata, pihaknya menganggap aspek pemantauan berkenaan sebagai satu kewajipan sekali gus menafikan dakwaan bahawa pelaksanaan manifesto PRU15 telah mencapai 84 peratus sebagai suatu pembohongan.
Katanya, kenyataan itu bukan satu pembohongan, sebaliknya, ia berpandukan dapatan kajian oleh Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK), Pejabat Menteri Besar Kelantan.
“Perkembangan pencapaian manifesto tersebut sebenarnya sentiasa dipantau rapi oleh SPARK bagi memastikan setiap Exco melaksanakannya dengan sebaik mungkin melalui portfolio masing-masing.
“Sebenarnya, manifesto yang mengandungi 18 tawaran dengan 96 program ini dirangka untuk tempoh lima tahun dan hanya akan berakhir pada 2028 nanti. Namun, kita melihat perkembangannya saban tahun sehingga mencapai peratus yang telah disebutkan,” katanya kepada pemberita ketika selepas Mesyuarat Penyelarasan Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan 2026 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini semalam.
Mohd. Asri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri memberitahu, reaksi negatif sesetengah pihak terhadap pendedahan berkenaan mungkin disebabkan dapatan pencapaian itu dikeluarkan tanpa perincian lebih terperinci bagi kesemua 18 tawaran berkenaan.
“Memang dalam politik, setiap pihak ada pandangan masing-masing, tetapi dengar dahulu hujah pihak lain. Bukan terus memburukkan dan menuduh ia bohong hanya kerana tidak bersetuju. Ini tidak betul.
“Lebih-lebih lagi dalam fasa kita mahu membentuk satu penyatuan besar dalam kalangan masyarakat hari ini. Kita perlu mendidik netizen agar sentiasa bersangka baik dan tidak terus menghukum demi mengelakkan perselisihan,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu berkata, pendedahan pencapaian manifesto berkenaan sebenarnya bukan semata-mata untuk memaklumkan rakyat bahawa kerajaan negeri menunaikan janji, tetapi juga sebagai peringatan kepada setiap Exco untuk berusaha menyelesaikannya secepat mungkin.
“Kita mahu rakyat tahu, memang ada badan yang memantau pelaksanaan manifesto ini melalui setiap portfolio pentadbiran termasuk Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar bagi memastikan setiap mereka menjalankan tugas.
“Kita mahu setiap portfolio segera melaksanakan semua tawaran sehingga mencapai 100 peratus, sungguhpun belum sampai tempoh empat tahun. Jika berlaku pilihan raya pada hujung tahun ini, kita mahu manifesto ini menjadi model yang menyatakan kita menepati janji,” ujarnya.











