KUANTAN: Pahang mencatat keputusan membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan kedudukan kedua terbaik di peringkat nasional.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara keseluruhan, seramai 21,043 mendaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2025 di negeri ini dengan 96.52 peratus berjaya memperoleh Layak Sijil (LS), manakala seramai 671 calon pula berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran.
“Lebih membanggakan, negeri Pahang turut mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, sekali gus meletakkan Pahang di kedudukan negeri kedua terbaik di peringkat nasional.
“Saya juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas pencapaian luar biasa yang ditunjukkan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang yang berjaya mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60, selain Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang terus mengekalkan kecemerlangannya dengan GPS 1.06.
“Tahniah juga diucapkan kepada 12 buah sekolah yang mencatat sekurang-kurangnya GPS 2.30 dan daripada 12 sekolah tersebut tiga daripadanya mencatatkan GPS 2.00 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Wan Rosdy berkata, sekolah-sekolah lain yang turut cemerlang antaranya Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah, Kuantan; Sekolah Menengah Agama Al Maarif, Kuantan; Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut dan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub.
Dalam pada itu, katanya, syabas juga diucapkan kepada daerah Pekan dan Kuantan yang masing-masing mencatatkan GPN 3.89 dan daerah Lipis yang mencatat GPN 3.93.
Beliau berkata, kejayaan itu manifestasi kepada usaha berterusan, iltizam yang tinggi dan komitmen padu semua pihak dalam memastikan anak-anak Pahang mendapat pendidikan terbaik.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh calon SPM 2025, para guru, ibu bapa, pentadbir sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Yayasan Pahang, serta semua pihak yang telah memainkan peranan besar dalam melakar kejayaan ini.
“Sesungguhnya, pencapaian ini tidak hadir secara kebetulan. Ia adalah hasil usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pendidikan, termasuk melalui pelbagai bentuk inisiatif, sokongan dan intervensi pendidikan seperti pemberian buku rujukan, buku latihan serta kit persekolahan, bagi memastikan anak-anak Pahang terus mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berdaya saing.
“Kerajaan negeri juga akan terus meletakkan pendidikan sebagai antara agenda utama pembangunan negeri, selaras hasrat dan hala tuju Aspirasi Pahang 1st, kerana saya yakin bahawa pendidikan merupakan asas terpenting dalam membina masa depan negeri yang lebih gemilang,” katanya. – UTUSAN










