Nepal adakan pilihan raya pertama selepas Gen Z gulingkan kerajaan

Nepal adakan pilihan raya pertama selepas Gen Z gulingkan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Nepal bersiap untuk mengadakan pilihan raya umum esok, proses demokrasi pertama sejak protes belia pada September tahun lalu yang menuntut penghapusan rasuah, lebih banyak peluang pekerjaan dan politik bersih.

Protes tersebut mengakibatkan 77 kematian dan memaksa kerajaan meletak jawatan.

Selama beberapa dekad, negara Himalaya yang terletak antara China dan India itu bergelut ketidakstabilan politik, dengan 32 perubahan dalam kerajaan sejak 1990, menyebabkan ekonomi agraria negara terbantut dan memaksa jutaan rakyat mencari pekerjaan di luar negara.

Sekitar 19 juta daripada 30 juta penduduk Nepal layak mengundi untuk memilih badan perundangan yang mempunyai 275 ahli, di mana 165 calon dipilih secara langsung dan 110 lagi melalui sistem perwakilan berkadar.

Kira-kira satu juta pengundi baharu, majoritinya belia, ditambah selepas protes 2025, yang menguatkan tuntutan untuk merombak semula sistem politik Nepal dan melakukan reformasi ekonomi bagi mewujudkan pekerjaan formal dengan gaji lebih baik.

Dalam persaingan ini terdapat penyokong lama, termasuk Kongres Nepal yang berhaluan tengah dan Parti Komunis Nepal (UML), yang mendomonasi politik negara selama beberapa dekad.

Namun, kebanyakan penganalisis berpendapat Parti Rastriya Swatantra yang berhaluan tengah berada di barisan hadapan.

Penyanyi rap yang kini menjadi ahli politik, Balendra Shah, 35, menyertai parti berusia tiga tahun itu pada Januari lalu sebagai calon perdana menteri.

Bekas Datuk Bandar Kathmandu yang muncul sebagai wajah protes September itu kini berdepan dengan K.P. Sharma Oli, 74, empat kali menjawat jawatan perdana menteri yang meletak jawatan selepas pembunuhan penunjuk perasaan ketika protes tersebut.

Pilihan raya Nepal adalah yang kedua diadakan di rantau itu selepas Bangladesh, yang dicetuskan oleh protes diketuai Generasi Z, namun dinamiknya agak berbeza, kata pengasas badan pemikir Yayasan Demokrasi Nepal, Jay Nishaant.

“Dalam mana-mana pilihan raya, tiga faktor menentukan keputusan: agenda, kepimpinan dan organisasi.

“Itu antara aspek di mana Nepal mungkin berbeza daripada Bangladesh. Pemimpin pelajar di Bangladesh pada Julai 2024 mempunyai agenda jelas dan wajah yang dikenali, tetapi tidak mempunyai rangkaian akar umbi yang terbukti berkesan,” katanya.

Dalam pilihan raya umum Bangladesh pada Februari, parti utama yang digerakkan oleh belia hanya memenangi enam kerusi daripada 300 kerusi Parlimen, menunjukkan cabaran untuk menukar momentum jalanan menjadi undi.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN