KUANTAN: Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG) merayu kerajaan mendengar suara 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menyuarakan kebimbangan berhubung pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, MyGiG berpandangan bahawa gesaan tersebut adalah berasas dan tidak boleh dipandang ringan.
“Pelaksanaan Akta 872 dalam keadaan semasa berisiko memberi kesan besar kepada keseluruhan ekosistem bukan sahaja pekerja gig, tetapi juga kepada pengguna dan platform,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sharkar berkata, antara isu kritikal yang perlu diberi perhatian termasuk:
*Definisi terlalu umum
-Takrifan pekerja gig yang terlalu luas tanpa pembezaan subsektor.
-Risiko lambakan pemandu dan penghantar.
-Menyebabkan persaingan tidak seimbang dan pendapatan terhakis.
*Pertindihan undang-undang
-Pertindihan dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715)
-Mengelirukan struktur kawal selia sedia ada.
-Berpotensi mewujudkan konflik pelaksanaan.
*Struktur representasi lemah
-Hak berpersatuan tanpa kuasa rundingan sebenar.
-Majlis Perundingan Gig hanya bersifat nasihat.
-Mewujudkan “double layer” tanpa impak kepada dasar.
*Penyahaktifan akaun & keselamatan pendapatan
-Ketiadaan prosedur standard dan garis panduan yang jelas.
-Ketiadaan mekanisme tindakan segera bagi kes kritikal yang melibatkan keselamatan pengguna atau kepentingan awam.
-Proses berlapis dan birokratik (melibatkan pelbagai peringkat) yang berpotensi melambatkan penyelesaian kes.
-Risiko kehilangan pendapatan secara berpanjangan akibat kelewatan proses dan ketidakpastian keputusan.
*Beban kos & kesan kepada pengguna
-Peningkatan kos pematuhan dan keperluan regulatori ke atas platform.
-Pertambahan kos operasi keseluruhan dalam ekosistem gig.
-Risiko kos dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tambang atau caj perkhidmatan.
-Potensi pengurangan insentif kepada pekerja akibat tekanan kos.
-Kesan rantaian kepada permintaan, sekali gus menjejaskan keseimbangan pasaran.
*Cukai tanpa jaminan kestabilan pendapatan
-Pekerja gig berdepan kewajipan cukai.
-Tiada perlindungan pendapatan minimum.
-Risiko ketidakseimbangan beban ekonomi.
Menurutnya, kesemua faktor itu menunjukkan bahawa Akta 872 masih memerlukan penelitian, penambahbaikan dan penyelarasan yang lebih menyeluruh sebelum dilaksanakan.
“MyGiG ingin menegaskan bahawa tuntutan penangguhan ini bukan penolakan terhadap usaha kerajaan, sebaliknya satu gesaan bertanggungjawab agar dasar yang diperkenalkan benar-benar praktikal, seimbang dan berasaskan realiti industri,” katanya.
Beliau berkata, MyGiG berpandangan bahawa akta yang memberi kesan kepada lebih 1.2 juta penggiat gig tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa asas yang kukuh.
“Kerajaan perlu membuka semula ruang dialog secara menyeluruh agar setiap dasar yang diperkenalkan benar-benar berasaskan realiti industri dan tidak menjejaskan kelangsungan sektor ekonomi gig,” katanya.
Media hari ini melaporkan bahawa, 11 gabungan NGO terbabit menggesa supaya pelaksanaan Akta 872 ditangguhkan melalui moratorium berikutan kebimbangan serius terhadap keseimbangan ekosistem industri, peningkatan tekanan kos serta risiko kegagalan pasaran dalam sektor ekonomi gig. – UTUSAN










