KUANTAN: Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG) membantah takrifan dalam Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang memberi pengiktirafan kepada pemastautin tetap (PR) sebagai pekerja gig.
Setiausaha Agungnya, Fairuz Jamaludin berkata, perkara itu jelas bertentangan dengan dasar sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), bahawa hanya warganegara Malaysia dibenarkan beroperasi sebagai pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.
“Sektor ekonomi gig beroperasi 100 peratus berlandaskan mekanisme penawaran dan permintaan. Ketika ini, industri sudah pun dipacu oleh lebih 1.2 juta pekerja gig tempatan yang bergelut dengan persaingan sengit.
“Sekiranya status PR diiktiraf, ia bakal mencetuskan lambakan penawaran (pekerja). Kesannya, syarikat pengendali platform akan mempunyai ruang untuk terus memanipulasi dan menekan kadar tambang serta upah yang sudah sedia rendah ke paras yang lebih tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Fairuz berkata, MyGiG menyambut baik iltizam kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia khususnya di bawah kepimpinan Datuk Seri R. Ramanan, dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan Akta 872.
Usaha tersebut katanya, merupakan langkah positif ke arah memperkukuh perlindungan dan kebajikan pekerja gig di Malaysia.
“Bagaimanapun, MyGiG mendapati terdapat satu kelompongan kritikal dalam peruntukan akta tersebut yang berisiko menggugat kelangsungan hidup pekerja gig warganegara Malaysia.
“Kelompongan ini dipercayai berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan kurangnya penelitian komprehensif semasa sesi libat urus awal sebelum tampuk kepimpinan kementerian yang baharu mengambil alih,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, masa semakin suntuk memandangkan tarikh penguatkuasaan Akta 872 dijangka bermula penghujung Mac ini.
Jadi katanya, MyGiG menggesa agar Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan (MOT) duduk semeja untuk menyelaraskan akta tersebut agar tiada pertindihan bidang kuasa.
Beliau berkata, MyGiG bersetuju dan menyokong penuh keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dalam masa terdekat sebagai badan kawal selia ekosistem industri gig di Malaysia.
“MyGiG memohon Kementerian Sumber Manusia agar memperhalusi dan meminda semula peruntukan bermasalah di dalam Akta 872 ini dengan kadar segera. Dasar dan kerangka perundangan yang utuh bukan sekadar instrumen untuk mengawal selia industri, malah ia wajib berfungsi sebagai perisai yang melindungi hak rakyat Malaysia agar terus menjadi pemain utama ekonomi gig di tanah air sendiri.
“MyGiG kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak kementerian melalui sesi libat urus bagi mencari titik pertemuan yang terbaik demi masa depan pekerja gig tempatan,” katanya. – UTUSAN










