MIC Pahang kekal bersama BN - Utusan Malaysia

MIC Pahang kekal bersama BN

V. ARUMUGAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pengerusi MIC Pahang, V. Arumugam menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau sudah bertemu dengan pimpinan Pas Bentong baru-baru ini.

Menurutnya, laporan bertajuk “Pas Bentong sudah Bertemu Pengerusi MIC Pahang” yang disiarkan portal berita itu pada hari ini adalah tidak benar dan bersifat mengelirukan.

“Kali terakhir saya bertemu mana-mana pemimpin Pas adalah ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang berakhir pada 12 Disember 2025,” katanya di sini.

Pas Pahang hari ini dilaporkan menerima secara terbuka penyertaan MIC dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan sudah berhubung dengan Pengerusi MIC Pahang.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abd Jabar dilaporkan berkata, perkembangan itu menjadi kelebihan kepada Pas Pahang dan petunjuk baik memandangkan PN Pahang berpotensi memperoleh satu kerusi DUN. secara percuma.

Mengulas lanjut, Arumugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai menegaskan beliau kekal komited mewakili Barisan Nasional (BN) di Pahang dan menolak politik adu domba serta kebencian.

“Politik khidmat, bakti dan budi yang diamalkan di Pahang akan terus menjadi pegangan saya,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana laporan itu diterbitkan pada penghujung Ramadan, bulan yang istimewa bagi umat Islam.

Sementara itu, Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin ketika dihubungi menegaskan, tiada keperluan untuk perubahan tempat duduk membabitkan ADUN Sabai kerana wakil rakyat itu setia dan kekal bersama BN.

“ADUN Sabai sudah menyatakan beliau kekal bersama BN dan tidak pernah menimbulkan sebarang isu yang boleh menjejaskan kedudukannya dalam Dewan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN