Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang cemerlang SPM 2025, rekod GPS 0.60 mata - Utusan Malaysia

Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang cemerlang SPM 2025, rekod GPS 0.60 mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60 bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan 25 calon memperoleh keputusan semua A.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md. Isa berkata, institusi di bawah tajaan Yayasan Pahang yang kali pertama membuka pusat peperiksaan ini turut memperoleh 100 peratus calon Layak Sijil.

“Seramai 48 calon menduduki peperiksaan dengan 100 peratus kehadiran. Daripada jumlah itu, seramai 25 calon memperoleh keputusan semua A dalam mata pelajaran dan 100 peratus calon layak sijil.

“Pada 2025 Maahad Tahfiz Turath ini memperoleh GPS 0.60 mata. Maksudnya dia capai antara A dengan A+. Ini membuktikan bahawa Maahad Tahfiz Turath ini satu pencapaian yang sangat besar kepada Pahang.

“Selain menunjukkan prestasi yang cemerlang, mereka juga dilatih untuk menghafal 30 juzuk al-Quran dan aktif dalam bidang kokurikulum seiring dengan modal insan seimbang duniawi dan ukhrawi,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman SPM 2025 Pahang di Pejabat Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zamri berkata, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) turut meneruskan pencapaian cemerlang dengan 40 calon daripada 70 calon SPM memperoleh semua A.

“Maahad Tahfiz Negeri Pahang tajaan Yayasan Pahang meneruskan pencapaian cemerlang dalam SPM 2025. Seramai 70 calon menduduki peperiksaan dengan 100 peratus kehadiran.

“Seramai 40 calon memperoleh semua A dalam mata pelajaran dan 100 peratus calon Layak Sijil. Pada 2025 ini, Maahad Tahfiz Negeri Pahang memperoleh GPS 1.06 mata,” katanya.

Pahang merekodkan 671 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A, dan A- bagi semua mata pelajaran daripada 17,429 calon yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN