BERLIN: Syarikat automotif gergasi Jerman, BMW, diarahkan menarik balik lebih 330,000 keretanya di seluruh dunia berikutan kebimbangan mengenai risiko kebakaran.
Arahan yang dikeluarkan pengawal selia pengangkutan KBA pada Jumaat, merupakan penarikan balik kedua untuk jenama itu dalam tempoh kurang daripada sebulan.
Menurut KBA, kira-kira 337,000 kereta merangkumi lima model berbeza berpotensi terjejas oleh isu keselamatan, yang berpunca daripada kesilapan pada pemasangan laluan pendawaian papan pemuka.
Daripada jumlah itu, sebanyak 29,000 kenderaan dikesan berada di Jerman.
Berdasarkan butiran yang dimuat naik di laman web rasmi, penarikan balik itu melibatkan model i5, Siri 5, M5, i7 dan Siri 7 yang dikeluarkan antara Jun 2022 hingga Disember 2025.
Setakat ini, tiada sebarang insiden direkodkan berkaitan risiko keselamatan tersebut, menurut KBA.
Jurucakap BMW ketika dihubungi AFP mengesahkan jumlah kenderaan terjejas di Jerman, namun tidak dapat mengulas angka antarabangsa yang dinyatakan KBA.
Awal bulan ini, BMW dilaporkan turut menarik balik ratusan ribu kereta di seluruh dunia disebabkan potensi risiko penghidup enjin boleh mencetuskan kebakaran.
Pada akhir 2024, BMW menarik balik 1.5 juta kenderaan kerana sistem brek yang rosak, memaksa syarikat itu menurunkan unjuran kewangannya bagi 2024.










