KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti kemungkinan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya cadangan kerja dari rumah bagi penjawat awam diputuskan dan dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Mohd. Azam Ahmad berkata, ia penting bagi memastikan sebarang langkah yang diambil tidak menjejaskan proses pembelajaran murid di seluruh negara.
“KPM akan menilai secara menyeluruh rasional pelaksanaan PdPR sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat sekolah.
“Kita akan teliti sekiranya cadangan kerja dari rumah ini melibatkan sekolah. Jika ada rasional untuk melaksanakan PdPR, kita akan menelitinya dengan cermat sebelum membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jaulah Ramadan KPM Peringkat Kelantan di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Azam memberitahu, perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan diadakan minggu depan bersama Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri, Wong Kah Woh, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr. Aminuddin Hassim serta pengurusan tertinggi kementerian.
Katanya, pendekatan yang diambil perlu memastikan matlamat kerajaan khususnya dari segi penjimatan kos operasi dapat dicapai tanpa menjejaskan kualiti pendidikan negara.
Mohd. Azam berkata KPM mempunyai pengalaman melaksanakan PdPR ketika penularan COVID-19 sebelum ini dan pengalaman tersebut boleh dijadikan panduan untuk menambah baik pelaksanaan sekiranya kaedah itu diperkenalkan semula.
Katanya, apa juga keputusan yang dibuat nanti perlu mengambil kira kepentingan terbaik murid serta keberkesanan sistem pendidikan negara.
“Sebagai penjawat awam, pihak kementerian akan melaksanakan segala dasar dan keputusan yang diputuskan kerajaan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.-UTUSAN










